Oleh SABRINA SABRE
BARU berusia 22 tahun, namun atlet berbasikal Wilayah Persekutuan, Muhammad Fahmi Khairul merupakan antara atlet muda dilihat memiliki potensi yang boleh digilap untuk menyinari dunia berbasikal suatu hari nanti.
Setiap kali terpilih untuk tampil di pentas pertandingan, dia sebolehnya mahu memastikan skuad berbasikal menempa kejayaan yang tersendiri.
“Saya akan berusaha bersungguh-sungguh kerana setiap kali memperoleh kemenangan, secara tidak langsung ia juga merupakan kejayaan bagi diri saya sendiri.
“Harapan saya dalam sukan berbasikal ini sangat tinggi kerana saya mahu pergi ke tahap yang boleh dibanggakan bukan sahaja di peringkat kebangsaan tetapi juga di pentas antarabangsa,” ujarnya.
Dalam pada itu, selain sibuk berkerja, anak kedua daripada tiga orang adik-beradik ini berkata dia tetap fokus dalam bidang sukan yang menjadi keutamaannya sejak berumur 14 tahun.
“Jiwa saya memang sejak kecil lagi meminati sukan ini dan saya dapat merasakan masa hadapan saya cerah untuk terus berada dalam arena ini.
“Saya jatuh cinta dengan sukan berbasikal kerana merasakan jiwa lebih tenang dan dekat dengan suasana alam semula jadi memandangkan trek berbasikal adalah di hutan,” ujarnya.
Setiap kali berlatih mahupun menyertai pertandingan dalam kawasan hutan dia akan memastikan basikal sentiasa berada dalam keadaan baik.
“Tayar dan brek adalah perkara penting yang perlu diberi perhatian. Jangan sesekali terlepas pandang kerana ia boleh mengundang kemalangan dan kecederaan. Selain daripada itu, untuk yang beragama Islam perlulah sentiasa berdoa agar sentiasa dalam lindungan-Nya.
“Dalam masa sama, perlu sentiasa peka dengan binatang buas kerana kita berada di dalam kawasan laluan mereka,” kongsinya kepada Wilayahku.
Mula bergiat dalam sukan berbasikal sejak tahun 2014, Fahmi yang juga merupakan bekas pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Paya Rumput Melaka memasang impian untuk mencipta kejayaan unggul dalam dunia berbasikal antarabangsa.
“Insya-Allah saya akan pastikan apa yang dihajati tercapai. Untuk ke arah itu, saya perlu lebih bersiap sedia dan melakukan banyak latihan agar penampilan pada pemilihan itu nanti akan memberi kejayaan luar biasa.
“Jika diizinkan saya ingin melayakkan diri ke temasya Sukan Olimpik dan menyumbangkan emas dalam masa yang sama dapat menggembirakan keluarga yang sentiasa memberi sokongan,” ujarnya. – WILAYAHKU