Berita

PPj anjur forum bentuk keluarga harmoni, bahagia dan sakinah

KIRA-KIRA 300 orang peserta hadir mengikuti Forum Keluarga Sakinah Putrajaya 2023 baru-baru ini.
- Diterbit 26 Oktober 2023 9:40 PM MYT

Oleh SABRINA SABRE

DALAM usaha membantu serta menyokong komuniti Putrajaya ke arah pembentukan keluarga yang harmoni, bahagia dan sakinah, Perbadanan Putrajaya (PPj) dengan kerjasama Majlis Peguam Syarie Wilayah Persekutuan mengadakan Forum Keluarga Sakinah Putrajaya 2023 baru-baru ini bertempat di Dewan Seri Melati, Kompleks PPj.

Menurut Presiden PPj, Datuk TPr Fadlun Mak Ujud, istilah Sakinah menggambarkan kedamaian, ketenangan dan kebahagiaan dalam hubungan kekeluargaan sekali gus membentuk komuniti yang boleh menjadi penyumbang positif kepada masyarakat.

“Forum tersebut merangkumi pelbagai topik dan perbincangan mengenai perkahwinan, hubungan suami isteri, keibubapaan, komunikasi dalam keluarga dan nilai kekeluargaan dalam Islam.

“Selain itu, ia juga menjadi tempat untuk berkongsi pengalaman, nasihat dan penyelesaian berhubung masalah yang sering timbul dalam kehidupan berkeluarga.

“Dalam masa sama, ia turut menyokong kesejahteraan mental komuniti Putrajaya di mana keluarga yang harmoni cenderung untuk mewujudkan persekitaran yang menyokong kepada kesejahteraan mental,” tambah beliau perkara tersebut boleh mengurangkan masalah kesihatan mental dalam masyarakat selain mewujudkan masyarakat yang lebih stabil.

Lebih menarik, forum yang bertajuk Undang-Undang Syariah? Tujuan Dan Matlamat Dalam Kehidupan Berkeluarga turut menampilkan ahli panel yang tidak asing lagi iaitu pendakwah bebas, PU Amin dan Exco Majlis Peguam Syarie Wilayah Persekutuan, Roshdan Sujak Rafie di samping penampilan moderator yang juga pengacara TV Alhijrah, Jalal Zaiki.

Terdahulu, Program Forum Keluarga Sakinah Putrajaya Siri 1 yang bertajuk Aidilfitri Dirai, Keluarga Disantuni telah diadakan pada April dengan penampilan Suffian Saujana sebagai moderator serta dua panel hebat iaitu Ustaz Nik Bakri Nik Mat dan Dr Fitri Haris.

Turut diadakan bersama Bantuan Kasih Aidilfitri Putrajaya 2023 yang disumbangkan kepada asnaf-asnaf dan anak anak Pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PDK) Putrajaya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas