Oleh SABRINA SABRE
SELARAS dengan aspirasi Perbadanan Putrajaya (PPj) dalam menjadikan Putrajaya sebagai bandar rendah karbon, pihaknya menganjurkan Pertandingan Perabot PolyAl 2023 pada 1 Ogos hingga 15 September lalu.
Menurut Naib Presiden Perancangan Bandar PPj, Shamsul Bahrin Rahmat, pertandingan tersebut dilaksanakan bersama rakan strategik CAREton@Putrajaya iaitu Syarikat Tetra Pak Malaysia, Nestle Milo UHT dan Majlis Rekabentuk Malaysia.
“Pertandingan ini dilaksanakan bertujuan untuk meningkatkan lagi kreativiti industri dalam menghasilkan produk kitar semula menggunakan papan polyAl.
“Di samping itu, ia adalah untuk memperkenalkan konsep sirkular ekonomi sebagai pendekatan baru dalam tindakan pengurangan sisa pepejal di Putrajaya.
“Hasil pertandingan yang terpilih akan digunakan di premis PPj dan sekitar Putrajaya mengikut kesesuaian,” katanya dalam Majlis Penyampaian Hadiah Pertandingan CAREton@Putrajaya: Produk PolyAl 2023.
Dalam masa sama, beliau berkata ia secara tidak langsung dapat menjimatkan kos pembelian PPj di samping mempromosi amalan bandar hijau.
Shamsul Bahrin berkata sejumlah sembilan penyertaan telah diterima oleh pihaknya yang mana hasil pertandingan ini telah dinilai daripada aspek-aspek seperti konsep dan fungsi, kreativiti dan estetik, keselamatan dan kekukuhan, peratusan penggunaan UBC dan potensi untuk dikomersialkan.
“Projek ini juga akan dikembangkan dari semasa ke semasa kepada skala lebih besar dalam kalangan komuniti, bukan sahaja memanfaatkan alam sekitar malah dapat membantu menjana sumber pendapatan komuniti berteraskan teknologi hijau.
“Sesuai dengan konsep bandar hijau, PPj akan terus komited dalam menggalakkan penggunaan bahan kitar semula dalam kehidupan seharian bagi menyebarkan kepentingan mengamalkan kelestarian alam sekitar.
“Aktiviti sebegini turut dapat memperkenalkan cara unik dan kreatif untuk menghias kawasan kediaman komuniti sambil menjaga alam sekitar,” ujar beliau.
Terdahulu, pihak PPj meraikan sembilan pemenang Pertandingan CAREton@Putrajaya daripada peringkat sekolah, Institusi Pengajian Tinggi (IPT), persatuan dan syarikat swasta bertempat di Lobi Auditorium Cempaka Sari, Kompleks PPj.
Juara pertandingan berjaya membawa pulang wang tunai bernilai RM8,00, manakala bagi naib juara RM600, RM400 untuk tempat ketiga, tempat keempat RM300 dan tempat kelima RM250. Pemenang sagu hati pula membawa pulang wang tunai RM200 selain masing-masing turut menerima sijil dan hadiah iringan. – WILAYAHKU