Oleh KHAIRUL IDIN
BERTEMAKAN Perpaduan Teras Malaysia Madani, sambutan Maulidur Rasul peringkat Labuan berlangsung meriah disertai seramai 4,000 peserta dan membabitkan 68 kontinjen mewakili agensi kerajaan, swasta, persatuan dan sekolah.
Pengerusi Perbadanan Labuan, Senator Tan Sri Anifah Aman berkata masyarakat dapat mempelajari erti menerima kepelbagaian di dalam kehidupan, seterusnya menjauhi sifat taasub dan melampau dalam mencintai sesuatu bangsa.
“Kita hendaklah hidup dalam suasana persekitaran yang harmoni dan seimbang. Sebagai umat Islam harus membawa watak kedamaian menyeru dengan kasih sayang dan memandu ke arah kesatuan ummah,” katanya semasa merasmikan Majlis Penutupan Sambutan Maulidur Rasul 2023 peringkat Labuan, baru-baru ini.
Teks ucapan beliau disampaikan oleh Timbalan Pengerusi Perbadanan Labuan, Simsudin Sidek.
Hadir sama Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Labuan, Rithuan Mohd Ismail dan Ketua Penolong Pengarah Kanan Jabatan Agama Wilayah Persekutuan (JAWI) Labuan, Sharidah Zainal Abidin.
Dalam pada itu, Anifah turut menyeru masyarakat menjadikan akhlak dan peribadi baginda Rasulullah SAW yang sentiasa tidak lokek dengan senyuman, mengasihi golongan muda serta menyantuni mereka yang sudah dimamah usia.
“Baginda sentiasa mengangkat seruan perpaduan dalam kehidupan. Bukan sekadar menjadi laungan retorik dalam ucapan, sebaliknya dengan penuh kejujuran, ia dibuktikan melalui tindakan yang sarat dengan nilai keikhlasan,” katanya.
Terdahulu, Perbadanan Labuan muncul johan bagi kategori jabatan kerajaan dalam pertandingan perarakan Maulidur Rasul 1445H bersamaan 2023M peringkat Labuan.
Manakala bagi kategori kampung, Kampung Pohon Batu merangkul johan. Kedua-dua johan kategori jabatan kerajaan dan kampung membawa pulang hadiah berupa wang tunai RM800 beserta sijil penghargaan. – WILAYAHKU