Oleh HAZIRAH HALIM
KEMENTERIAN Kesihatan Malaysia (KKM) dan badan bukan kerajaan (NGO) mempergiatkan usaha membina kesedaran dalam kalangan masyarakat terhadap penyakit kanser.
Ia dilihat memainkan peranan penting bagi memastikan masyarakat mengambil serius tentang bahaya penyakit berkenaan yang dibimbangi boleh meragut nyawa jika tidak dicegah awal.
Justeru itu, Yayasan Wilayah Persekutuan (YWP) dengan kerjasama Yakult Malaysia Sdn Bhd bakal menganjurkan Program Saringan Kanser Usus Besar dan Pemakanan Sihat (Jom Kenali Usus Anda) pada 4 November ini bertempat di Dewan Orang Ramai, Perumahan Awam (PA) Desa Rejang, Kuala Lumpur.
Menurut Pengurus Kanan Perhubungan Awam dan Sains Yakult Malaysia Sdn Bhd, Lim Siew Ling, program saringan itu akan diberikan secara percuma kepada golongan berpendapatan rendah (B40) dan dijangka bakal memanfaatkan seramai 250 peserta meliputi penduduk di kawasan berkenaan termasuk Persatuan Suri dan Anggota Wanita Perkhidmatan Awam Malaysia (PUSPANITA) bermula pukul 8 pagi hingga 1 petang.
“Objektif Program Saringan Kanser Usus Besar ini adalah untuk mempertingkatkan kesedaran dan pengesanan awal kanser usus besar dalam kalangan B40.
“Pelaksanaan program ini berpandukan kepada konsep Kebajikan Tanggungjawab Bersama yang diadakan secara kolaborasi strategik melalui pendekatan perkhidmatan kerajaan terhadap rakyat,” katanya kepada Wilayahku.
Selain pemeriksaan kesihatan, Siew Ling berkata program itu juga akan dimeriahkan dengan pelbagai aktiviti seperti pameran, ceramah kesihatan, cabutan bertuah dan sebagainya.
“Menariknya, para pengunjung dan peserta terlibat berpeluang mendengar ceramah kesihatan tentang kesihatan usus yang akan disampaikan oleh doktor dari Pejabat Kesihatan Wilayah Persekutuan (WP) serta perkongsian berhubung pemakanan sihat untuk usus daripada pakar pemakanan di Pejabat Kesihatan WP.
“Selain itu, kita juga akan menunjukkan tayangan video tentang cara penggunaan Kit Immunochemical Fecal Occult Blood Test atau Kit iFOBT iaitu sejenis alat yang digunakan ketika ujian untuk mengesan darah di dalam najis.
“Justeru itu, saya ingin mengajak semua warga penduduk PA Desa Rejang khususnya termasuk orang ramai untuk hadir memeriahkan program saringan kesihatan ini yang sememangnya berguna dan memberi banyak pendedahan terhadap kanser usus besar,” kongsinya.
Tambahnya, majlis perasmian penutup dijangka akan dirasmikan oleh Pengarah Urusan Yakult Malaysia, Hiroki Yanase bersama Pengarah Eksekutif YWP, Abdul Rahman Siraj.
Untuk rekod, YWP menerima kunjungan dari pengeluar minuman probiotik terkemuka dunia, Yakult Malaysia Sdn Bhd pada 4 Oktober lalu. Menerusi kunjungan tersebut, kedua-dua pihak berhasrat menjalankan program-program kesedaran mengenai kanser. – WILAYAHKU