DARIPADA pemerhatian kawan-kawan Kedai Kopi, banyak jalan di ibu kota yang sudah hilang garis putih pembahagi lorong. Ada yang hilang terus, ada yang hanya samar-samar warna catnya. Garisan yang sudah terpadam itu pula tidak dicat semula.
Keadaan ini menimbulkan kesusahan kepada pemandu kerana tiada panduan tepat ketika di jalan raya. Garisan putih sangat penting untuk pemandu berada di lorong yang betul bagi melancarkan perjalanan dan mengelak kesesakan.
Tanpa garisan pembahagi lorong, pemandu sukar bergerak secara tersusun menurut barisan. Akibatnya ramai yang keluar masuk ke laluan orang lain sesuka hati menimbulkan kesesakan lalu lintas.
Berdasarkan pengalaman kawan-kawan Kedai Kopi, wujud suasana ‘hiruk-pikuk’ di jalan raya kerana ketiadaan garis putih. Kenderaan bersesak mencelah untuk ke hadapan menambah kekalutan di jalan raya.
Jika ada garisan putih sekurang-kurangnya pemandu akan berada di lorong masing-masing, tidak mencelah ke kiri kanan. Walaupun dalam kesesakan, pergerakan kenderaan lebih teratur berbanding tanpa garisan.
Pada waktu malam, garisan putih memainkan peranan lebih penting. Dalam kesamaran malam, garis putih menyerlah bagai penunjuk jalan kepada pemandu agar tidak tersasar atau memasuki lorong yang salah.
Oleh itu kawan-kawan Kedai Kopi berharap pihak berkuasa seperti Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) meninjau kawasan di mana garisan putih ini sudah hilang dan mengecatnya semula dengan segera.
Jangan biarkan jalan tanpa garisan ini terbiar begitu lama. Seelok-eloknya, sebaik sahaja catnya antara nampak dengan tidak, segeralah cat semula. Begitu juga jika jalan diturap, pastikan garisan putih dicat di atas turapan. – WILAYAHKU