KECOH dan tular baru-baru ini apabila timbul larangan menghina Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu dan laungan takbir dalam Perhimpunan Freedom for Palestine yang berlangsung di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur pada 22 Oktober lalu.
Walaupun Pengerusi Viva Palestina Malaysia (VPM) yang bertindak sebagai penganjur, Datuk Dr Musa Mohd Nordin telah tampil memohon maaf, namun rakyat masih marah, tidak berpuas hati dan berasa terhina terutama susulan dua larangan berkenaan semasa himpunan aman tersebut.
Bagi mereka, meminta maaf bukanlah jalan penyelesaian terhadap insiden yang telah berlaku, apa yang mereka mahukan adalah kebenaran di sebalik isu itu.
Malah, tidak cukup dengan itu, mulalah ada yang menuduh kononnya perkara tersebut adalah arahan daripada pihak kerajaan yang dikatakan cuba mempolitikkan isu Palestin ini.
Adakah benar kerajaan melarang rakyat bertakbir dalam perhimpunan aman Palestin? Benarkah larangan menaikkan sepanduk pemimpin Israel untuk menjaga hati mana-mana pihak seperti yang ditularkan?
Ini jawapan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.
Menurut Saifuddin, larangan itu adalah atas budi bicara penganjur yang bertanggungjawab memastikan tiada perbuatan cenderung kepada permusuhan berlaku.
“Di Parlimen saya tegaskan, bila saya berdiri pendirian kerajaan saya sampaikan dengan tanggungjawab, pengiktirafan kita kepada mereka (Palestin) tetapi soalnya apakah boleh dikecam Benjamin Netanyahu, pendirian kita jelas, hakikat bahawa kita mengiktiraf perjuangan rakyat Palestin, dengan sendirinya kita menidakkan sokongan (kepada Israel).
“Tetapi kalau di himpunan dengan 300, 400 orang, dianjurkan satu pertubuhan kemudian kalau dikenakan apa-apa sekatan, yang boleh dan tidak boleh, kena lihat fakta kejadian pada waktu itu dan ia tak mencerminkan pendirian sepenuhnya kerajaan hari ini,” katanya pada waktu pertanyaan-pertanyaan menteri di Dewan Rakyat, baru-baru ini.
Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan tambahan Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal (PN-Machang) yang ingin tahu sama ada terdapat undang-undang baharu untuk menurunkan sepanduk yang mengecam pemimpin Israel itu.
Saifuddin berkata Akta Perhimpunan Aman 2012 mensyaratkan penganjur bertanggungjawab memastikan pihaknya dan orang lain berada dalam perhimpunan itu tidak melakukan perbuatan dan tidak mengeluarkan pernyataan yang berkecenderungan untuk mengembangkan perasaan jahat atau permusuhan dalam kalangan orang awam.
“Isu pokoknya solidariti kepada rakyat Palestin diiktiraf oleh negara yang bersimpati sebagai negara berdaulat tetapi tidak ada tanah air baik di Gaza atau tebing barat yang buminya itu adalah bumi dijajah.
“Sekarang nyawa dua juta rakyatnya terancam, tentera Israel sudah ada di sempadan dan isu pokoknya bagaimana mengeluarkan rakyatnya daripada tanah Gaza yang tengah terkepung dan ini yang dilakukan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bertemu Presiden Turkiye, Recep Tayyip Erdogan serta Putera Mahkota, Mohammed Salman dan Perdana Menteri Arab Saudi, Raja Salman Abdulaziz Al-Saud dan menjadi koordinator bagi pihak ASEAN,” katanya.
Jawapan yang diberi sudah pun panjang lebar dan menjawab isu ini. Jadi, rasanya tidak perlu lagi diperbesarkan pada masa akan datang. Kita tetap bersama Palestin. Jika tidak mampu berjuang, marilah menadah tangan dan berdoa kepada Allah SWT.
Baru-baru ini, Anwar juga bertemu Erdogan serta Raja Salman yang nyata dan jelas menunjukkan usaha murni Malaysia dalam menyelamatkan rakyat Palestin. Jadi, bawa-bawalah bertenang ya! – WILAYAHKU