Artikel

Melitus diabetes: Bukan pengakhiran hidup si kecil (Sempena Hari Kanak-Kanak Sedunia)

Gambar hiasan
- Diterbit 26 Oktober 2023 10:00 PM MYT

APABILA anak anda yang sihat dan aktif disahkan menghidap diabetes, ia seolah-olah mengkucar-kacirkan segala keseimbangan hidup. Sebagai ibu atau ayah, ia merupakan satu keadaan yang penuh kebimbangan.

Perunding Endokrinologi Pediatrik di IMU Healthcare dan Pensyarah Kanan dalam Pediatrik di Universiti Perubatan Antarabangsa, Dr Meenal Mavinkurve, tampil memberi pencerahan dan berkongsi pendapatnya mengenai diabetes kanak-kanak.

“Ramai ibu bapa yang berasa terkejut, tidak berdaya dan berputus asa apabila anak mereka disahkan menghidap diabetes tetapi keadaan itu ada penyelesaiannya.

“Saya mahu pesakit dan ibu bapa memahami yang kanak-kanak penghidap diabetes boleh berjaya, malah boleh menjadi lebih baik lagi berbanding kanak-kanak lain yang tidak menghidap diabetes.

“Tidak dinafikan ia adalah sukar, diselang-seli dengan emosi dan rutin kehidupan baharu, tetapi akhirnya kerjasamalah yang dapat membantu kanak-kanak ini menikmati kemanisan hidup sama seperti rakan sebaya,” ujarnya.

DR MEENAL

Mengulas lanjut tentang melitus diabetes, Meenal berkata ia berkisar tentang insulin, sejenis hormon penting yang dikeluarkan organ pankreas.

“Insulin memainkan peranan penting untuk mendapatkan glukosa, yang merupakan satu sumber tenaga, ke dalam sel-sel kita.

“Melitus diabetes adalah keadaan di mana kurangnya insulin atau tindakannya berkurangan (rintangan insulin). Kedua-dua keadaan ini boleh membawa kepada paras glukosa yang tinggi dalam aliran darah. Itulah melitus diabetes.

“Jenis melitus diabetes paling banyak didapati dalam kalangan kanak-kanak adalah Jenis 1 (iaitu kekurangan insulin, atau T1DM) dan Jenis 2 (rintangan insulin, atau T2DM).

“T1DM adalah keadaan autoimun, di mana badan menghasilkan antibodi yang memusnahkan sel-sel beta di dalam pankreas. Sel-sel itulah yang bertanggungjawab menghasilkan insulin. Keadaan T2DM pula, badan masih boleh menghasilkan insulin, tetapi insulin kurang bertindak,” ujarnya.

BERMULA DENGAN KESEDARAN

TAMBAHNYA, salah satu langkah penting yang boleh membawa kepada diagnosis diabetes lebih awal adalah kesedaran bahawa melitus diabetes adalah penyakit yang boleh dihidapi kanak-kanak dan pengenalan awal setiap gejala boleh membantu diagnosis dan rawatan awal.

Menurut Meenal, jika gejala-gejala tersebut tidak dikesan dari awal, ia boleh melarat dan menjadi lebih teruk dengan gejala muntah, kelesuan, sesak nafas dan sakit perut.

“Itu adalah gejala-gejala ketoasidosis diabetik (DKA), sejenis diabetes yang kronik. Walaupun begitu, kadangkala kita boleh keliru dengan gejala yang sama seperti keadaan pediatrik biasa yang lain.

“Kajian terbaharu oleh Mavinkurve et al, 2021 bertajuk Is Misdiagnosis of Type 1 Diabetes Mellitus in Malaysian Children a Common Phenomenon? 2021, menunjukkan kadar salah diagnosis dalam kalangan kanak-kanak Malaysia dengan T1DM ialah 38.7 peratus.

“Dalam kajian ini, dilaporkan bahawa kanak-kanak biasanya didiagnosis secara salah sebagai berpenyakit pernafasan atau gastrousus oleh profesional penjagaan kesihatan.

“Kanak-kanak yang berumur kurang lima tahun berisiko lebih tinggi untuk tersalah diagnosis. Mereka datang ke hospital dengan gejala DKA, lalu dimasukkan ke wad unit rawatan rapi,” ujar beliau lagi.

SECARA purata kira-kira 57 kanak-kanak disahkan menghidap diabetes setiap tahun.

Secara keseluruhannya, kajian tersebut menekankan bahawa mencegah salah diagnosis sebagai faktor penting dalam mencegah DKA dan berada lama dalam wad hospital.

Pada tahun 2019, Atlas Persekutuan Diabetes Antarabangsa (IDF 9 th ed, 2019) melaporkan 977 kes diabetes dalam kalangan kanak-kanak berusia di bawah 18 tahun di Malaysia. Angka tersebut meningkat lebih dua kali ganda bagi kes yang didaftarkan pada tahun 2008 di bawah Pendaftaran Diabetes dalam kalangan kanak-kanak dan remaja, Malaysia.

Laporan akhbar The Star menyatakan bahawa secara puratanya, kira-kira 57 kanak-kanak disahkan menghidap diabetes setiap tahun. Satu daripada kedua-dua jenis diabetes tersebut yang paling biasa dihidapi kanak-kanak adalah Jenis 1 yang menyumbang lebih daripada 90 peratus kes melitus diabetes di seluruh dunia.

“Kadar diabetes dalam kalangan kanak-kanak telah meningkat di seluruh dunia dan diagnosis sedang dibuat ke atas kanak-kanak yang jauh lebih muda juga.

“Di Malaysia, purata umur diagnosis adalah antara tujuh hingga lapan tahun. Di dalam kes diabetes Jenis 2, faktor risiko yang diketahui ialah obesiti dan ia semakin meningkat di Malaysia.

“Keadaan ini biasa dilihat dalam kumpulan umur remaja. Walaupun wujud kaitan yang kuat antara obesiti dan T2DM, terdapat faktor lain yang turut mempengaruhi seperti sejarah keluarga dan latar belakang etnik,” ujar beliau.

Bagi kanak-kanak yang disahkan menghidap melitus diabetis, jalan di hadapan akan ditandai dengan hari-hari yang baik dan sukar. Pesakit dan keluarga boleh mendapatkan sokongan dari doktor mereka dan bekerjasama untuk memastikan kanak-kanak penghidap diabetes menikmati zaman kanak-kanak yang indah dan bernilai sama seperti kanak-kanak lain.

“Kesedaran dan pendidikan mengenai diabetes kanak-kanak melalui sumber yang boleh dipercayai adalah begitu penting.

“Melitus diabetes boleh jadi satu keadaan yang kronik, tetapi ada jalan penyelesaiannya. Dengan jalan penyelesaian itu dan kerjasama, kita mampu membantu kanak-kanak penghidap diabetes untuk mencapai potensi yang sewajarnya,” katanya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas