Berita

Pemandu lori rempuh kereta penguat kuasa KPDN ketika cuba seleweng diesel

Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Pulau Pinang, S.Jegan. Kredit foto: BERNAMA
- Diterbit 23 Oktober 2023 7:31 AM MYT

KEMENTERIAN Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Pulau Pinang menahan dua lelaki dan merampas 5,400 liter diesel yang cuba diseleweng dan menahan dua buah lori melibatkan nilai RM52,709 dalam dua serbuan di Juru dan Simpang Ampat, dekat sini semalam.

Pengarahnya S.Jegan berkata kedua-dua pemandu lori warga tempatan berusia 40-an turut ditahan menerusi Ops Tiris yang dijalankan pada 4.45 pagi di Juru dan 7.30 pagi di Simpang Ampat hasil risikan serta intipan pihaknya sejak seminggu lepas.

“Dalam serbuan pertama di Juru, kami menahan sebuah lori merah yang sedang mengisi minyak dalam keadaan mencurigakan dan pemeriksaan awal menemukan enam unit tangki simpanan berkapasiti 1,000 liter yang digunakan untuk mengisi diesel. Terdapat 4,800 liter diesel di dalam kesemua tangki tersebut.

“Dalam serbuan kedua, kami cuba menahan sebuah lori putih sedang mengisi minyak diesel dan sebaik menyedari kehadiran penguat kuasa, pemandu lori berkenaan bertindak agresif melarikan diri dengan merempuh kenderaan KPDN, namun hasil bantuan polis dan Unit Risik KPDN kami berjaya menahan suspek,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut beliau hasil pemeriksaan menemukan tiga tangki minyak diesel berkapasiti 1,000 liter di dalam lori tersebut dan mengandungi 600 liter bahan api tersebut.

Siasatan mendapati kedua-dua suspek dipercayai membeli diesel dari beberapa stesen minyak mengikut harga subsidi sebelum menjual kepada pembeli dengan harga lebih mahal.

Beliau berkata pemeriksaan mendapati dua lori itu telah diubah suai untuk mengisi diesel dalam kuantiti yang banyak dan suspek ditahan untuk siasatan lanjut bagi membantu siasatan mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961. – BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas