MALAYSIA dan China akan menandatangani beberapa memorandum persefahaman (MoU) bagi mengeratkan hubungan dua hala termasuk dalam bidang penghasilan kandungan dan keselamatan siber, kata Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil.
Beliau berkata Malaysia-China telah memeterai MoU dalam bidang telekomunikasi pada September tahun lepas, namun terdapat beberapa aspek lain yang boleh diwujudkan persefahaman termasuk dalam bidang penghasilan kandungan dan keselamatan siber.
“Mesyuarat dua hala telah diadakan dan beberapa perkara dibincangkan termasuk langkah kerjasama erat antara kedua-dua negara dalam beberapa bidang termasuk pembikinan kandungan atau co-production yang memberi fokus kepada kandungan juga menarik minat pelancong China terhadap Malaysia,” katanya dalam sidang media selepas merasmikan Minggu Media ASEAN-China kelima di sini hari ini.
Beliau berkata mesyuarat dua hala itu turut membincangkan usaha memperkukuh kerjasama dalam bidang media, penyiaran, pertukaran berita dan industri kreatif.
Fahmi berkata beliau dijemput untuk mengadakan lawatan kerja ke Beijing bagi bertemu rakan sejawatnya serta beberapa pihak termasuk syarikat induk yang mengusahakan platform media sosial TikTok di China.
“Saya mengalu-alukan pelawaan itu dan percaya dapat membantu kita memahami beberapa perkara berkaitan aplikasi TikTok termasuk TikTok Shop. Kita akan bincang (dengan China) apa yang boleh kita lakukan,” katanya. – BERNAMA