Berita

Raja Permaisuri Agong berangkat ke Expo Seni dan Kraf 2023

Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah bersama Tengku Permaisuri Selangor Tengku Permaisuri Norashikin berkenan melawat ke tapak pameran kraf tangan selepas Program Memperkasa Crafter Tempatan di Pavillion Bukit Jalil hari ini. Foto kredit: BERNAMA
- Diterbit 21 Oktober 2023 8:58 AM MYT

RAJA Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah berkenan merasmikan Ekspo Seni dan Kraf 2023 di sebuah pusat membeli-belah di Bukit Jalil.

Keberangkatan tiba Seri Paduka Baginda pada 11.10 pagi diiringi Tengku Permaisuri Selangor Tengku Permaisuri Norashikin.

Raja Permaisuri Agong yang juga penaung Persatuan Seni Jahitan Kreatif (PSJKM) berkenan menyempurnakan majlis itu dengan menandatangani hasil kraf tangan batik sebagai simbolik perasmian.

Ekspo Seni dan Kraf 2023 yang bermula Khamis lepas (19 Okt) hingga esok, bertemakan The Tunku Azizah Handmade Market: A Home For Malaysian Crafters, mempamerkan hasil seni dan kraftangan tempatan dari seluruh negara.

Pameran itu mengetengahkan lebih 300 penggiat kraftangan tempatan yang terdiri daripada ahli kelab “A Home for Malaysia Crafter” bagi menonjolkan hasil seni daripada pelbagai bidang seperti tekstil, hasil rimba, hasil logam dan aneka kraf.

Ekspo inisiatif PSJKM itu bertujuan memperkasa penggiat kraf tempatan serta mempromosi pelbagai produk seni dan kraf tradisional, moden dan kontemporari kepada pembeli dalam dan luar negara. – BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas