PERDANA Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyeru masyarakat antarabangsa untuk tidak menutup mata terhadap kekejaman yang dilakukan Israel terhadap Palestin.
Tegasnya, sudah sampai masa untuk dunia bersatu dan semua negara perlu bersama-sama mencari penyelesaian yang berkekalan dan adil bagi konflik ini.
“Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSC) khususnya P5 perlu memainkan peranan sebagai broker keamanan yang jujur,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika Sidang Kemuncak ASEAN-GCC di Riyadh pada Jumaat.
Majlis Keselamatan PBB mempunyai lima ahli tetap iaitu Amerika Syarikat, China, Perancis, Rusia dan United Kingdom dan secara kolektif dikenali sebagai P5.
Katanya, semua pihak mesti menamatkan layanan yang tidak seimbang dan kemunafikan yang terang-terangan dan pada masa sama hak asasi manusia mesti dilindungi dan undang-undang antarabangsa mesti ditegakkan
“Rakyat Palestin mesti dikembalikan tanah, rumah dan harta mereka.
“Mereka mesti dibenarkan hidup dengan aman dan bermaruah di negara berdaulat mereka sendiri di sempadan yang diiktiraf antarabangsa, berdasarkan sempadan sebelum 1967, dengan Baitulmaqdis Timur sebagai ibu kotanya,” katanya.
Tambah Anwar, beliau turut mengingatkan bahawa dalam masa yang sangat mencabar ini ketika menghadapi krisis kemanusiaan yang belum pernah berlaku sebelum ini, ia boleh melebar menjadi konflik serantau dan dunia.
Anwar berkata Malaysia amat cemas dan amat sedih dengan jumlah korban awam yang tinggi.
“Kami mengutuk pengeboman Israel sewenang-wenangnya di Gaza dan menyekat keperluan asas kepada mereka di Gaza dengan meletakkan nyawa ramai rakyat Palestin dalam bahaya,” ujarnya sambil menambah Malaysia bersedia untuk menyertai usaha antarabangsa untuk menyampaikan bantuan kemanusiaan dan bekalan bantuan.
Beliau turut menyatakan kebimbangan untuk mewujudkan koridor kemanusiaan untuk menyampaikan bantuan kepada mereka yang memerlukan yang disifatkan sebagai keperluan mendesak
Dalam pada itu, beliau berkata cabaran yang ditimbulkan oleh iklim geopolitik semasa memerlukan semua pihak untuk membayangkan semula kerjasama ekonomi antara kedua-dua wilayah.
“Kita perlu mengubah hubungan ASEAN-GCC untuk memaksimumkan potensi ekonomi wilayah gabungan kita. Malaysia komited untuk melakukan perkara itu.
“Penerimaan Penyata Bersama Sidang Kemuncak dan Rangka Kerja Kerjasama yang disertakan hari ini adalah bukti ini bahawa skala besar hubungan kami yang matang dan luas mencerminkan pelbagai isu seperti yang terkandung dalam dokumen yang diterima pakai,” katanya.
Ujarnya, Malaysia ingin mencadangkan Perjanjian Perkongsian Ekonomi Komprehensif ASEAN-GCC (CEPA) untuk memajukan pertumbuhan yang progresif, inklusif dan mampan terutamanya selepas pulih daripada pandemik COVID-19 dan menghadapi ketidaktentuan geopolitik yang turut menjadi Perjanjian Perdagangan Bebas yang pertama antara ASEAN dan Timur Tengah. – WILAYAHKU