Berita

KKM keluarkan 4,753 kompaun merokok bernilai RM1.2 juta pada September 2023

Foto kredit: BERNAMA
- Diterbit 20 Oktober 2023 8:30 AM MYT

KEMENTERIAN Kesihatan (KKM) mengeluarkan 4,753 kompaun bernilai RM1.2 juta sepanjang September lalu atas kesalahan merokok, kata Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Muhammad Radzi Abu Hassan.

Sejumlah 9,848 notis kesalahan pula dikeluarkan daripada 23,093 premis yang dilawati melalui penguatkuasaan Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau (PPKHT) 2004, katanya dalam kenyataan hari ini.

Bagi tindakan penguatkuasaan Akta Pemusnahan Serangga Pembawa Penyakit (APSPP) 1975 yang bertujuan mencegah dan mengawal penyakit demam denggi, Dr Muhammad Radzi berkata 2,566 kompaun bernilai RM1.28 juta telah dikeluarkan dengan purata RM500 bagi setiap kompaun.

Dr Muhammad Radzi berkata sebanyak 6,003 premis makanan telah diperiksa pada bulan lepas dengan 176 premis telah diarah tutup di bawah Seksyen 11 Akta Makanan 1983.

“Tindakan penutupan sementara premis makanan yang dikuatkuasakan oleh KKM adalah sebagai suatu langkah menjamin kebersihan premis serta makanan yang dihidangkan,” katanya. – BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas