Oleh SABRINA SABRE
SUKAN bukan sekadar pentas kompetitif untuk beradu kehebatan, malah sebagai perantara untuk menghubung dan mengeratkan hubungan sesama manusia.
Baru-baru ini, Sambutan Hari Sukan Negara (HSN) 2023 di seluruh negara disambut meriah tidak ketinggalan juga di Peringkat Perbadanan Pembangunan Kampong Bharu (PKB) yang berlangsung di Plaza Kampong Bharu.
Mengulas tentang sambutan tersebut, PKB dalam satu kenyataan berkata pelaksanaan HSN di peringkat PKB ini dijadikan sebagai asas membudayakan sukan sebagai gaya hidup demi kesejahteraan dan kesepaduan penduduk Kampung Baru serta menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara sukan (sporting nation).
“Bagi acara senamrobik, ia telah diselaraskan dengan kerjasama jurulatih daripada Majlis Sukan Wilayah Persekutuan (MSWP).
“Untuk Program Fun Walk, kita telah melibatkan laluan sepanjang satu kilometer melalui Jalan Sungai Baru, Jalan Raja Muda Musa 3, Jalan Raja Muda Musa dan Jalan Hassan Salleh, Kampung Baru, Kuala Lumpur,” ujarnya.
Sementara itu, Pintasan Saloma diwarnai dengan pelbagai program dan acara antaranya senamrobik, fun walk, pertandingan mewarna, sukan rakyat, cabutan bertuah, food truck serta pelbagai kios jualan turut disediakan oleh pihak penganjur.
Progam tersebut melibatkan kerjasama pelbagai pihak antaranya Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), MSWP, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi, Anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA), Persatuan Bulan Sabit Merah (PBSM), Majlis Perwakilan Penduduk Wilayah Persekutuan (MPPWP) Sub Zon 3 Kampong Bharu Zon Titiwangsa, Kawasan Rukun Tetangga (KRT) dan sekolah di Kampung Baru.
Terdahulu, Majlis Perasmian HSN Peringkat Kebangsaan 2023 disempurnakan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Putrajaya dan disertai lebih 30,000 peserta.
Sebagai rekod, HSN adalah agenda nasional yang disambut secara tahunan pada setiap Sabtu minggu kedua Oktober dalam usaha membudayakan serta merakyatkan sukan dalam kalangan masyarakat menerusi amalan gaya hidup cergas dan aktif selaras dengan kerangka Malaysia Madani dan Visi Sukan Negara 2023.
Tidak ketinggalan juga turut dianjurkan program dan aktiviti mesra Orang Kurang Upaya (OKU), kanak-kanak dan warga emas seperti Karnival Inspire OKU Aktif, Active Ageing, sukaneka dan banyak lagi.
Di Putrajaya, HSN 2023 berlangsung penuh meriah dengan 66 acara dan aktiviti sukan dan rekreasi seperti Jelajah Fit Malaysia Peringkat Kebangsaan Tahun 2023 (larian, berbasikal dan jalan kaki), senamrobik, bola keranjang 3X3, kabbadi, sukan elektronik dan banyak lagi. – WILAYAHKU