Atlet Wilayah

Iffah sasar emas Kejohanan Asia Canoe Polo

IFFAH ILYANA (tiga kiri) bersama rakan sepasukannya ketika Kejohanan Kanu Polo Kulai 2023.
- Diterbit 19 Oktober 2023 11:10 PM MYT

Oleh SABRINA SABRE

ATLET kanu Wilayah Persekutuan, Nurul Iffah Ilyana Zulkifli, 20, giat mempersiapkan diri sebelum menghadapi Kejohanan Asia Canoe Polo yang bakal berlangsung di Singapura pada November ini.

“Saya akan lakukan sehabis baik untuk meraih pingat emas di samping menjalani latihan seperti biasa untuk memperbaiki diri sedikit demi sedikit supaya menjadi lebih hebat dan padu.

“Sukan kanu ini memerlukan latihan yang konsisten bukan sahaja untuk mengekalkan stamina tetapi juga prestasi saya di dalam air,” ujarnya kepada Wilayahku.

Ingin menjulang nama Malaysia di peringkat antarabangsa, Iffah Ilyana berhasrat untuk terus membawa sukan kanu kekal unggul di mata dunia.

“Di Malaysia, sukan ini masih asing tetapi di luar negara, kanu adalah antara sukan popular yang mana prestasi atlet mereka cukup hebat. Semoga atlet kita akan sampai ke tahap seperti itu juga.

“Saya berharap akan diberi peluang untuk menyertai kejohanan di luar negara pada tahun hadapan dan tahun-tahun akan datang jika keadaan mengizinkan,” ujar pelajar jurusan Diploma Sains Komputer di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) ini.

Bercerita lanjut tentang sukan yang diminatinya, anak kedua daripada empat orang adik-beradik ini berkata minat tersebut hadir apabila dirinya sering didedahkan dengan sukan tersebut oleh ibunya, Norrasidah Nordin sejak kecil lagi.

“Ibu saya merupakan atlet kanu dan sering mengikuti pelbagai kejohanan. Dia jugalah yang membawa saya berkecimpung dalam sukan ini. Dari situlah minat saya mula bercambah sehingga ke hari ini.

“Sudah hampir tujuh tahun saya dalam sukan ini, setiap kali berkanu pasti saya rasakan satu ketenangan dan ia merupakan antara cara untuk menenteramkan jiwa daripada stres.

“Sukan kanu buatkan saya berasa lebih dekat dengan alam semula jadi kerana boleh menikmati pemandangan yang indah. Disebabkan itu saya sayang untuk meninggalkan dunia kanu ini,” katanya lagi. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas