Berita

Satukan rakan ekosistem rangkaian pos selamat, boleh dipercayai

FAHMI FADZIL
- Diterbit 19 Oktober 2023 8:30 PM MYT

DALAM landskap dinamik perdagangan moden, penghantaran selamat dan boleh dipercayai telah menjadi sesuatu yang penting untuk menghantar barangan kepada pengguna berbanding sebelum ini.

Industri perkhidmatan pos mengambil peranan penting dalam membolehkan penghantaran rentas sempadan yang lancar, diatur oleh kakitangan berdedikasi dalam perkhidmatan pos dan rangkaiannya.

Selaras dengan tema Hari Pos Sedunia 2023, Together for Trust: Collaborating for a Safe and Connected Future, industri perkhidmatan pos menyediakan ruang selamat dan menghubungkan pelbagai bentuk produk serta perkhidmatannya.

Usaha ini tidak hanya terarah kepada operasi tetapi melangkaui peraturan perniagaan terutamanya, dengan pelbagai inovasi teknologi dan transformasi pendigitalan.

Kekukuhan permintaan semasa dan masa hadapan akan memacu industri yang dijangka berkembang serta menawarkan peluang pekerjaan kepada kira-kira lebih 160,000 rakyat Malaysia. Ia seiring dengan pertumbuhan dan sasaran kerajaan sebanyak 30 bungkusan per kapita menjelang 2025.

Pertumbuhan ini memperkukuhkan ekonomi negara dan juga menekankan potensi industri untuk memacu impak sosial serta ekonomi yang ketara.

Industri perkhidmatan pos menyediakan cara boleh dipercayai dan berpatutan untuk menyampaikan barangan dan perkhidmatan yang penting untuk e-dagang dan perniagaan digital lain.

Percambahan e-dagang telah menyebabkan penurunan dalam jumlah mel tradisional tetapi pada masa sama, ia mewujudkan peluang baharu untuk industri.

Ini memanfaatkan rangkaian sedia ada untuk memberikan barangan dan perkhidmatan kepada pengguna di seluruh dunia menggunakan pelbagai kepakaran dalam logistik dan pengedaran, sambil membantu perniagaan berkembang maju serta lebih cekap.

Tren peralihan ke arah e-dagang sebagai kaedah asas membeli-belah telah menyaksikan jumlah bungkusan global dijangka mencecah 256 bilion bungkusan pada 2027.

Oleh itu, aspek keselamatan rangkaian penghantaran perlu diberi perhatian yang sama dengan peningkatan jumlah bungkusan dijangkakan.

Mel atau bungkusan dihantar melalui perkhidmatan pos untuk tujuan yang menyalahi undang-undang menjadi kebimbangan utama.

Untuk memerangi pengedaran barang haram dan dilarang, adalah penting untuk mewujudkan kerjasama strategik dalam kalangan pihak berkuasa dan agensi penguatkuasaan.

Selain itu, kita juga tidak boleh menafikan bahawa penggunaan teknologi datang dengan risiko ancaman siber seperti pelanggaran data, serangan perisian hasad dan penipuan pancingan data.

Peningkatan keselamatan siber yang kukuh perlu disediakan memandangkan peningkatan kebergantungan kepada sistem digital, seperti transaksi dalam talian dan data peribadi pelanggan.

Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) akan terus menyelia pembangunan dan pertumbuhan ekosistem industri perkhidmatan pos serta menyokong hubungan perniagaan ke perniagaan.

Seperti yang diterajui MCMC, inisiatif Pelan Accelerator Kurier Negara (PAKEJ), mempunyai tonggak 4R – Kebolehpercayaan (kualiti perkhidmatan), Capaian (liputan lancar), Relevan (pertumbuhan industri) dan Kemampanan (mampan) yang berada di barisan hadapan transformasi ini.

Dengan pelaksanaan PAKEJ, Rangkaian PAKEJ, yang terdiri daripada rangkaian pencapaian terbaik, mampu memberi manfaat secara langsung kepada pengguna dan penyedia perkhidmatan melalui proses automatik.

Rangkaian PAKEJ disokong oleh kohort dan rakan kongsi ekosistem, yang mengubah cara pengguna menghantar dan menerima bungkusan mereka memberikan penghantaran lebih selamat serta lancar kepada pengguna.

MCMC akan terus berpegang teguh pada komitmen untuk memimpin dengan dasar boleh dicontohi, protokol tadbir urus dan inisiatif yang boleh dipercayai.

Usaha kolektif ini secara strategik mendorong industri ke arah perjalanan yang berterusan dalam meningkatkan pengalaman pengguna, sambil memudahkan peralihan yang lancar ke landskap global saling berkaitan.

Untuk tujuan ini, MCMC bersedia untuk mengekalkan pengawasan kawal selianya yang sewajarnya terhadap industri perkhidmatan pos.

Akhir sekali, kami juga ingin mengucapkan terima kasih kepada barisan hadapan dan rakan kongsi industri perkhidmatan pos kerana mereka terus memacu pertumbuhan ekonomi dan kecemerlangan dalam landskap perkhidmatan pos.

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas