Artikel

Hotel di masjid

- Diterbit 19 Oktober 2023 7:30 PM MYT

HOTEL di masjid? Jarang masjid ada kemudahan seperti ini. Jika ada pun kemudahan di sesetengah masjid ialah inap desa atau homestay dengan jumlah penginap yang terhad.

Namun Masjid Al-Ghufran, Kompleks Balai Islam, Pinggir Taman Tun Dr Ismail (TTDI), Kuala Lumpur, dianggap unik. Bukan sahaja ia rumah ibadat untuk penduduk Islam tempatan dan sekitar, ia juga menyediakan kemudahan hotel.

Hotel mengandungi 24 bilik ini mampu menempatkan sehingga 78 orang pada satu-satu masa. Tentu sahaja ia memberi kemudahan kepada musafir yang datang dari jauh untuk menginap dengan kadar sewa berpatutan berbanding hotel biasa.

Kawan-kawan Kedai Kopi difahamkan, kemudahan hotel ini adalah antara ciri utama keistimewaan Masjid Al-Ghufran. Daripada segi bangunan, masjid ini berdiri di atas tapak tanah bukit berhadapan Lebuh Raya Damansara—Puchong. Kebanyakan masjid dibina di atas tapak lapang dan rata.

Juga istimewa masjid ini kerana ia dibina hasil permuafakatan penduduk setempat. Pada peringkat awal mereka membina surau setelah kawasan tersebut mula didiami oleh ramai penduduk.

Surau ini dibina dengan kos RM5 juta pada April 1993 dengan nama surau Balai Islam. Ia kemudian dinaik taraf sebagai surau Jumaat pada Februari 1995 dan seterusnya dinaik taraf sebagai masjid pada April 2000 berikutan peningkatan jumlah penduduk.

Masjid tersebut yang berukiran indah di dalamnya, persis reka corak masjid di Asia Barat, merupakan masjid yang aktif. Pelbagai aktiviti dilaksanakan, termasuk kelas pengajian agama pada hujung minggu, kursus kahwin dan tazkirah. Ia juga menyediakan kemudahan dewan seminar serta rumah petugas.

Bagi masyarakat Islam luar yang datang ke Kuala Lumpur, bolehlah datang melawat Masjid Al-Ghufran dan melihat sendiri kemudahan disediakan. Menginaplah di hotel masjid tersebut jika ingin tinggal untuk beberapa hari di ibu kota. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas