Fokus

Pementasan Teater Saya…Dari Hujung Kota, impian jadi kenyataan

- Diterbit 13 Oktober 2023 12:28 PM MYT

Oleh: DIANA AMIR
Foto: SHUAIB AYOB

KEBERANIAN sasterawan negara yang ketujuh, Datuk Noordin Hassan dalam mengutarakan konsep pendramaan baru yang bersifat antirealisme iaitu drama absurd dan eksperimental telah membuka dimensi baru dalam dunia drama di Malaysia.

Penulisannya yang unik, kreatif dan prolifik membuatkan pembaca perlu betul-betul mendalami dan memahami setiap mesej yang ingin disampaikan yang sering diklasifikasikan sebagai art berat.
Baru-baru ini menerusi Mekar Budaya dengan kerjasama Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan Dewan Bahasa dan Pustaka Kuala Lumpur diadakan pementasan Teater Saya…Dari Hujung Kota bertempat di Panggung Bandaraya Kuala Lumpur.

Menurut Pengarahnya, Marlenny Deenerwan, 46, mementaskan karya sasterawan negara itu adalah sebuah impian yang menjadi kenyataan.

MARLENNY

“Saya membaca Anak Tanjung pada usia belasan tahun, ketika naskhah berkenaan menjadi teks wajib Kesusasteraan Melayu Tingkatan 6. Kemudian beberapa tahun berikutnya ketika belajar di Akademi Seni Kebangsaan, saya kemudiannya terpilih melakonkan watak Sapura daripada drama berkenaan dalam sebuah fragmen teater.

“Sempat menjalani separuh latihan sebagai watak Ratu Salbiah dalam Tiang Seri Tegak Berlima yang diarahkan oleh Allahyarham Rohani Yusof, namun tidak jadi dipentaskan. Semenjak itu, saya tidak lagi asing dengan karya-karya Noordin Hassan,” ujarnya yang mesra dipanggil Lenny Erwan.

Lenny berkata bagi pementasan kali ini, dia memilih untuk mengangkat tiga buah drama Noordin Hassan yang penting iaitu Bukan Lalang Ditiup Angin, Tiang Seri Tegak Berlima dan Sirih Bertepuk Pinang Menari.

“Ketiga-tiga karya tersebut saya gabungkan dengan menggunakan tajuk memoir beliau iaitu Saya…Dari Hujung Kota. Selain cuba meneroka dimensi akal seorang absurdis, surealis dan eksperimentalis ala Malaysia ini, saya sebenarnya menyanjung aliran fitrah yang menjadi teras dan tunjang kepada pemikiran Noordin Hassan ketika berkarya.

“Dalam pementasan ini, saya tidak meletakkan tiga buah drama ini sebagai fragmen yang dipersembah secara berasingan. Namun mereka melakukan eksperimentasi dengan menjalinkan entiti dalam ketiga-tiga drama ini menjadi satu, sebagai satu,” katanya kepada Wilayahku.

ANTARA babak di dalam pementasan teater Saya… Dari Hujung Kota

Berkongsi mengenai naskhah yang dipersembahkan, Lenny berkata ia adalah mengenai manusia yang diberi kekayaan harta benda dan kausa tetapi terlupa kepada orang lain kerana terlalu mementingkan diri.

“Saya…Dari Hujung Kota mengisahkan tiga alam pemikiran dalam satu jalur cerita yang berkisah tentang manusia dan kemanusiaan.

“Pertama mengenai Chulan dan Ehsan yang gagah dan lemah, dilontarkan ke dunia untuk mempertahan hak masing-masing, malangnya mereka terperangkap dalam keluh-kesah tentang guruh yang berdentum, namun apakah ia hanya bunyi lalang yang ditiup angin? Seterusnya, konflik Zahiruddin Syah dan ayahandanya Sultan Idris Bestari berkisar dalam pencarian kewujudan sirih yang bertepuk dan pinang yang menari.

“Manakala yang ketiga mengisahkan Siti Muhsinat dihantui mimpi-mimpi ‘wahyu’ yang memintanya menegakkan tiang seri berlima. Inilah teras kepada tiga kisah ini iaitu pencarian hidayah dan fitrah,” ujarnya kotak fikir seorang absurdis, surealis dan eksperimentalis adalah sebuah representasi mental di luar konteks yang sebenar membuatkan dirinya berlegar-legar dalam dimensi intepretasi yang melawan arus logik.

Lenny berkata ia merupakan satu peluang yang berharga buat dirinya bagi mementaskan sebuah karya yang berat seperti ini.

EIJAT ASHARI (kiri) membawa watak sebagai pencerita.

“Bukan setiap hari kita berpeluang untuk menonton sebuah karya yang penuh dengan makna dalam penceritaan, malah bukan mudah untuk ditafsir, kisah yang penuh dengan pendekatan fitrahnya dan pemikiran unik dari seorang tokoh yang sangat disanjungi.

“Teater sebegini adalah sebuah teater yang boleh mengajar kita semua untuk berfikir dengan lebih kritis lagi dan tahu untuk menghargai sesebuah karya yang tidak mudah ditafsir dengan pemikiran yang biasa.

“Kita sebagai pihak produksi juga tidaklah mengharapkan semua penonton memahami setiap mesej yang ingin disampaikan namun cukuplah sekadar mereka berfikir sesuatu ketika melangkah keluar dari panggung. Itu juga sudah satu pencapaian buat kami di mana mereka tidak pulang dengan tangan kosong,” jelasnya pementasan kali ini melibatkan hampir 40 anggota produksi.

Seramai 11 barisan pelakon telah menjalani latihan sejak 4 September lalu antaranya selebriti Jay Iswazir, penggiat teater profesional Eijat Ashari, Juhara Ayob, Farhana Fahizam, Alif Azeman, Faez Malek, Marzuki Noh, Nain Hamdan, Faris Rizal Aznan dan Melati. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas