Oleh: KHAIRUL IDIN
PENDAPATAN sebagai seorang pekerja di sektor minyak dan gas agak lumayan dan mencecah angka belasan ribu ringgit sebulan. Namun segalanya berubah apabila Mohd Hafizul Helmi Sulaiman, 31, kehilangan pekerjaan ketika pandemik COVID-19 melanda negara sekitar tiga tahun lalu.
Bangkit untuk meneruskan kehidupan, dia dan isteri memulakan perniagaan Victoria Ice Cream yang terletak di Nepmart Sea View Kampung Tanjung Aru dengan berbekalkan modal sebanyak RM20,000.
Kongsinya, ketika itu dia tidak boleh terlalu lama untuk meratapi nasib kerana sedar bukan dirinya sahaja yang hilang punca pendapatan ketika itu.
Malah, ramai lagi mereka di luar sana yang berdepan dengan dugaan berat apabila kehilangan insan tersayang gara-gara virus yang menyerang ketika itu.
“Mujurlah isteri sentiasa memberi kata-kata semangat dan bersama-sama membangunkan perniagaan ini. Permulaannya kami agak risau juga dengan sambutan orang ramai namun ia di luar jangkaan.
“Sokongan daripada pembeli membuatkan saya dan isteri bersemangat untuk meneruskan Victoria Ice Cream ini. Sekarang sudah masuk tiga tahun kami berniaga,” ujarnya.
Kongsinya, Victoria Ice Cream mampu terjual sekurang-kurangnya 200 kon setiap hari dan paling membanggakan pasangan suami isteri ini memperoleh pendapatan lumayan mencecah lima angka sebulan.
BELAJAR BUAT AISKRIM DARI INTERNET
MOHD HAFIZUL mengakui ketika mula-mula terlibat dalam perniagaan tersebut, dia hanya mempelajari cara pembuatan aiskrim melalui Internet sahaja.
“Walau bagaimanapun, saya sangat menitikberatkan tentang kelazatannya. Jadi, bahan yang digunakan adalah premium supaya berkualiti dan segar selain diadun sendiri menggunakan mesin khas.
“Bagi saya, kalau sedap pasti pelanggan akan datang lagi berbanding sebaliknya. Kepuasan pelanggan adalah keutamaan kami. Sehingga hari ini, kami menerima pelbagai komen positif daripada mereka.
“Paling terharu, pelanggan sanggup beratur panjang semata-mata ingin mendapatkan Victoria Ice Cream,” ujarnya yang dalam perancangan untuk menerima sebarang tempahan majlis keraian dan lain-lain.
Terdiri daripada enam perisa yang enak, antara yang mendapat permintaan tinggi adalah chocolate island, victoria oreo dan aiskrim gula apong.
“Ketiga-tiga perisa ini dijual pada harga bermula RM5.50 sehingga RM9.90 mengikut topping di mana ia menggunakan coklat berjenama seperti Kit Kat, Cadburry, Daim dan M&M,” ujarnya pelanggan boleh mendapatkan aiskrim dengan harga serendah RM2.50.