Berita

Belanjawan 2024: Kerajaan perkenal Skim Galakan Penggunaan Motosikal Elektrik

'- GAMBAR hiasan.
- Diterbit 13 Oktober 2023 11:01 AM MYT

KERAJAAN memperkenalkan Skim Galakan Penggunaan Motosikal Elektrik kepada rakyat berpendapatan tahunan RM120 ribu ke bawah.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata skim ini akan memberikan rebat sehingga RM2,400 kepada pembeli.

“Kerajaan akan terus melonjak pembangunan industri kenderaan elektrik (EV) tempatan dan menggalakkan penerimaan rakyat terhadap penggunaan EV.

“Kerajaan mengalu-alukan pelaburan melebihi RM170 juta oleh syarikat terkemuka seperti Tenaga Nasional Berhad, Gentari dan Tesla Malaysia untuk memasang 180 stesen pengecasan EV,” katanya ketika membentangkan Belanjawan 2024 Malaysia Madani di Parlimen hari ini.

Tambah Anwar, bagi menyokong keperluan projek LRT3, Prasarana Malaysia Berhad bersetuju untuk memperoleh 150 bas elektrik dan membina tiga depoh bas dengan kos RM600 juta.

Dalam pada itu, kerajaan bercadang melanjutkan pelepasan cukai pendapatan individu sehingga RM2,500 ringgit ke atas perbelanjaan kemudahan pengecasan EV untuk tempoh empat tahun dan potongan cukai bagi kos sewaan EV untuk tempoh dua tahun lagi. – WILAYAHKU – SYED HAZIQUE

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas