Berita

MCMC berjaya merangkul anugerah di Asia’s Best Employer Brand Awards 2023

Wakil Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) menerima anugerah di Asia’s Best Employer Brand Awards 2023 di Singapura baru-baru ini.
- Diterbit 13 Oktober 2023 11:01 AM MYT

Oleh: AZLAN ZAMBRY

MAJIKAN dan pekerja merupakan satu hubungan yang unik dan memiliki sifat kebergantungan di antara satu sama lain. Jalinan tersebut juga berunsurkan kontrak perjanjian pekerjaan yang dipersetujui bersama.

Baru-baru ini, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) merangkul Anugerah Best Employer Brand Awards 2023 yang dianjurkan oleh The Employer Branding Institute dan Kongres Sumber Manusia Sedunia dalam satu majlis di Singapura pada 17 Ogos lalu.

Menurut MCMC, anugerah tersebut mengiktiraf organisasi yang menggunakan medium komunikasi pemasaran dengan berkesan dalam menarik bakat, mengekalkan bakat, membangunkan bakat dan dalam dasar pengekalan.

Proses pemilihan untuk anugerah Jenama Majikan Terbaik lazimnya melibatkan penyelidikan dan cadangan daripada pemimpin kanan dalam industri.

Menurut MCMC juga, Employer Branding Institute bekerjasama rapat dengan pemimpin kanan sumber manusia dan profesional di seluruh dunia untuk mengenal pasti syarikat yang cemerlang terutama dalam bidang sumber manusia dan strategi penjenamaan majikan.

Anugerah tersebut merupakan anugerah penjenamaan majikan ke-2 MCMC dalam tempoh kurang dari setahun, ia mengukuhkan kedudukan MCMC sebagai majikan bagi pilihan bukan sahaja dalam industri di Malaysia malahan dalam negara serta di rantau Asia.

Penyertaan MCMC untuk kali pertama ini bukan sahaja sebagai peserta tetapi juga telah muncul sebagai pemenang dalam arena pertandingan tersebut.

MCMC juga diiktiraf kerana amalan sumber manusia yang cemerlang termasuklah budaya tempat kerja, kepelbagaian dan inisiatif yang inklusif, peluang pembangunan kerjaya dan program kesejahteraan.

Kesan daripada inisiatif ini terbukti dalam kepuasan pekerja yang tinggi dan kadar penglibatan, serta kesan positif terhadap prestasi organisasi MCMC.

Usaha ini sudah pasti membantu organisasi ini untuk menarik dan mengekalkan bakat terbaik sekali gus menghasilkan produktiviti yang lebih tinggi.

Sebagai sebuah organisasi terkemuka, MCMC juga baru-baru ini telah merangkul beberapa anugerah dalam Employee Experience Awards (EXA) 2023 yang dianjurkan oleh Human Resources Online.

MCMC telah disenarai pendek bagi 11 kategori bersama beberapa syarikat multinasional lain seperti Nexperia Malaysia, Shell, Maxis, Allianz Malaysia, OCBC Bank dan lain-lain.

Pencapaian ini memberi inspirasi kepada MCMC dalam meningkatkan lagi strategi untuk memastikan pekerja gembira, produktif, dan terlibat sama dalam setiap program kesejahteraan.

Sebagai sebuah organisasi yang penting, pencapaian MCMC dalam anugerah baru-baru ini juga menunjukkan komitmen yang tinggi untuk kekal di barisan hadapan dalam penglibatan pekerja dan penjenamaan majikan di rantau Asia-Pasifik.

Menerusi anugerah yang dirangkul, ia mempamerkan komitmen MCMC untuk memupuk bakat kepimpinan dan mewujudkan ruang kerja yang mampan dan canggih.

Penghargaan tersebut berfungsi sebagai peringatan bahawa ketika mengejar kecemerlangan, baik di tempat kerja mahupun dalam program penjenamaan, ia adalah satu perjalanan tanpa destinasi akhir.

MCMC sebagai sebuah organisasi penting akan terus berkembang dan berinovasi malah sudah bersedia untuk masa hadapan yang lebih cerah dan menetapkan standard yang tinggi untuk mencipta serta merintis kemungkinan dan pengalaman di tempat kerja yang lebih baik. – WILAYAHKU

 

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas