Berita

Belanjawan 2024: Kerajaan tambah peruntukan NSRC kepada RM20 juta

SEBAGAI rekod, NSRC telah mengendali lebih 49 ribu panggilan dan berjaya membeku sehingga RM60 juta transaksi. - Gambar hiasan
- Diterbit 13 Oktober 2023 10:13 AM MYT

KERAJAAN akan menambah peruntukan Pusat Respons Scam Kebangsaan (NSRC) kepada RM20 juta ketimbang RM10 juta bagi meningkatkan lagi kefungsian NSRC membanteras jenayah scam.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata sejak penubuhannya, NSRC telah mengendali lebih 49 ribu panggilan dan berjaya membeku sehingga RM60 juta transaksi.

“Selain itu, Bank Negara Malaysia dengan kerjasama sektor kewangan sedang membangunkan Portal Fraud Kebangsaan (NFP) yang dijangka siap menjelang pertengahan tahun 2024.

“Dengan kebolehan automasi penjejakan dana, diharap portal ini akan mempercepat tempoh pengesanan, pembekuan dan pemulangan dana,” katanya ketika membentangkan Belanjawan 2024 Malaysia Madani di Parlimen hari ini.

Dalam pada itu, tambahnya, agensi berkaitan sedang meneliti keperluan untuk meminda undang-undang termasuk Kanun Tatacara Jenayah bagi membolehkan tindakan yang lebih berkesan diambil terhadap sindiket dan pemegang akaun keldai, seterusnya mempercepat proses pemulangan wang kepada mangsa scam. – WILAYAHKU – SYED HAZIQUE

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas