KADAR Sumbangan Tunai Rahmah (STR) daripada RM3,100 akan dinaikkan kepada RM3,700 pada tahun hadapan.
Mengumumkan perkara itu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata kerajaan akan menambah peruntukan sebanyak RM2 bilion sekali gus menjadikan jumlah keseluruhan RM 10 bilion pada tahun 2024.
“Bayaran pertama STR untuk isi rumah biasanya maksimum RM300. Untuk STR 2024, bayaran pertama STR dinaikkan kepada RM500 dan insya-Allah akan disalurkan sebelum Ramadan.
“Ia akan memanfaat kira-kira 9 juta penerima atau 60 peratus daripada penduduk dewasa Malaysia,” katanya.
Ujar beliau, kadar minimum STR untuk golongan belia juga meningkat daripada RM350 kepada RM500.
Katanya, kerajaan telah memperkenalkan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) dengan mengkreditkan ke dalam MyKad 200 ribu penerima Sumbangan Tunai Rahmah (STR) sebanyak RM100 sebulan untuk tempoh enam bulan tahun ini.
“Melalui SARA, penerima hanya perlu ke kedai-kedai runcit untuk memberi keperluan asas hanya dengan menggunakan MyKad dan memutuskan untuk meluaskan manfaat kepada 700 ribu penerima STR yang akan menerima RM100 sebulan untuk tempoh 12 bulan,” katanya.
Ujar beliau, kerajaan akan membuka permohonan baharu Sumbangan Tunai Rahmah (STR) 2024 seawal November 2023 dan permohonan akan dibuka sepanjang tahun berbanding setahun sekali sebelum ini. Insya-Allah, bayaran pertama
sehingga RM500 akan dibuat pada bulan Februari 2024. – WILAYAHKU