KERAJAAN memperuntukan sebanyak RM100 juta bagi menyelenggara lampu jalan termasuk menggantikan kepada jenis LED yang dapat menjimatkan elektrik sehingga 60 peratus.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata RM50 juta turut disediakan untuk tujuan sama di kawasan pihak berkuasa tempatan (PBT) seluruh negara.
“RM50 juta juga disediakan untuk merawat kawasan
berkemalangan tinggi antaranya menaik taraf lampu isyarat sedia ada kepada lampu isyarat pintar di Jalan Persekutuan bagi membantu mengurai kesesakan laluan trafik,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika membentangkan Belanjawan 2024 Malaysia Madani di Parlimen hari ini.
Anwar memberitahu sebanyak RM2.8 bilion disediakan untuk menyelenggara jalan dan jambatan persekutuan dengan RM300 juta dikhususkan kepada kontraktor G1 hingga G4.
“Khidmat Jurutera Daerah akan terus diperkasa bagi segera menangani aduan kecil dan luar jangka melibatkan Jalan Persekutuan.
“Kerajaan akan meningkatkan peruntukan kepada 200 ribu ringgit ketimbang 100 ribu ringgit kepada 115 Jurutera Daerah dengan peruntukan keseluruhan 30 juta ringgit,” ujarnya. – WILAYAHKU – SYWD HAZIQUE