SERAMAI 18 individu berusia 17 hingga 32 tahun direman selama tiga hari bagi membantu siasatan kejadian pergaduhan di sebuah gelanggang futsal di Tanjung Purun, semalam.
Pemangku Ketua Polis Labuan, Deputi Superintendan Robin Ismail berkata polis menerima video tular berdurasi 22 saat memaparkan pergaduhan yang berlaku pada pukul 1 petang semasa perlawanan kedua-dua pasukan sedang berlangsung.

“Hasil siasatan mendapati kejadian berpunca daripada provokasi antara penyokong dan pemain sehingga mencetuskan pergaduhan.
“Ia mengakibatkan seorang daripada mereka mengalami kecederaan di bahagian kepala.
“Ekoran itu, polis menahan 18 lelaki tempatan dan direman selama tiga hari untuk siasatan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Robin berkata kes disiasat di bawah Seksyen 147 Kanun Keseksaan kerana merusuh.
Sabit kesalahan boleh dihukum penjara selama dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.
Pada masa sama, Robin meminta saksi kejadian tampil memberi keterangan dan menasihatkan masyarakat yang terlibat dalam sebarang program perlawanan agar bermain dengan semangat kesukanan dan mengekalkan keharmonian tanpa mengira bangsa dan agama. – WILAYAHKU