TIDAK dapat dinafikan lagi bandar raya Kuala Lumpur merupakan syurga makanan, namakan sahaja jenis makanan Melayu, Cina, India, Barat, Timur Tengah mahupun serata dunia semuanya boleh didapati di sini.
Malah destinasi makan juga menawarkan pelbagai pengalaman menarik dan unik kepada pengunjung antaranya makan di dalam badan kapal terbang, restoran atas pokok, dalam kontena dan sebagainya.
Tampil dengan konsep berbeza dan lebih dekat dengan alam semula jadi, BBQ Lamb KL Kemensah menawarkan dining in the river di mana pelanggan boleh menikmati makanan sambil merendam kaki di dalam sungai.

Ia pastinya satu konsep menarik terutamanya kepada pencinta alam semula jadi di mana mereka boleh berehat, menikmati makanan yang dihidangkan sambil merasai ketenangan alam serta deruan air sungai.
Bertempat di Kampung Kemensah, Kuala Lumpur, BBQ Lamb KL Kemensah mula menjadi tumpuan ramai setelah ia tular di media sosial pada Oktober 2017.
Menurut pemiliknya, S Ibariyanurmi Iberahim, 45, pada permulaannya perniagaannya itu tidak mendapat sambutan yang menggalakkan namun dia tidak mudah berputus asa dengan melakukan pembaharuan dan penambahbaikan.
“Pada awalnya, agak struggle kerana kawasan ini jauh ke dalam dan ramai tidak tahu tentang kewujudan kami namun selepas diberi nafas baharu, BBQ Lamb KL Kemensah ini semakin mendapat tempat di hati pengunjung,” ujarnya yang lebih dikenali sebagai Mem.
Bercerita lanjut, Mem berkata hobinya yang suka memasak dan menjamu tetamu memberi satu kepuasan kepadanya kerana itu dia sentiasa bersemangat untuk menjalankan perniagaan makanan.
“Saya sangat suka memasak di mana perasaan dapat menjamu orang ramai dengan makanan memberi satu kepuasan terhadap diri saya tambahan pula kalau menerima maklum balas yang positif.
“Resipi bbq semua daripada saya sendiri dan untuk sos juga homemade di mana salah satunya dinamakan sempena nama saya iaitu sos mem. Saya ada keturunan Thailand jadi rasa masam dan pedas itu wajib,” kongsinya kepada Wilayahku.
Berkongsi mengenai menu yang ditawarkan, Mem berkata antara yang mendapat sambutan hangat adalah mix set.
“Mix set sesuai untuk empat orang dewasa makan di mana kita tawarkan empat jenis daging iaitu ayam, tenderloin, kambing dan smoked duck beserta empat nasi, empat koktail, satu pinggan buah potong juga air lemon. Kita juga ada set couple, ala carte dan banyak lagi,” jelasnya harga bermula serendah RM170 bagi hidangan set.
Tambahnya lagi, menggunakan konsep alam semula jadi iaitu makan di dalam sungai memerlukan penyelenggaraan yang tinggi.
“Apabila kita bermain dengan alam semula jadi, 24 jam sebelum beroperasi kita akan pastikan kawasan sungai bersih daripada sampah, botol kaca dan sebagainya untuk keselamatan pelanggan.
“Sebarang penambahbaikan yang dilakukan adalah bergantung pada alam sekitar di mana kita cuba kekalkan konsep alam semula jadi selain dekorasi tambahan untuk mencantikkan restoran kita,” jelasnya.
Turut mempunyai minat dan bakat dalam seni dekorasi, Mem berkata kedainya juga menawarkan pakej-pakej seperti sambutan hari jadi, candle light dinner dan sebagainya.
“Pelanggan hanya perlu menyatakan bajet mereka dan kita akan cadangkan beberapa menu dan dekorasi yang bersesuaian dengan harga yang diletakkan. Bagi mereka yang mempunyai bajet lebih boleh meminta seafood seperti king crab, oyster, lobster dan sebagainya. Kita akan sediakan,” ujarnya yang turut berpengalaman dalam mendekorasi pelamin.
STEAMBOAT DAN GRIL SEBELAH MALAM
MENGGUNAKAN pendekatan berbeza pada sebelah malam, pengunjung turut berpeluang merasai pengalaman steamboat dan gril di dalam sungai.
“Ia mengikut keadaan cuaca di mana sekiranya kita pasti air tidak naik dan tenang, mereka dibenarkan untuk berada di dalam sungai tetapi jika sebaliknya kita buka meja di persisiran sungai sahaja.
“Walau bagaimanapun ia masih konsep yang menarik dan tidak pernah ditawarkan di mana-mana kedai steamboat lain di mana mereka boleh makan sambil menikmati deruan air sungai,” ujarnya sebanyak 50 lebih menu ditawarkan di sebelah malam.
Mengulas soal harga, Mem berkata harga yang dikenakan adalah serendah RM38 bagi dewasa manakala RM25 (kanak-kanak) dan RM30 (warga emas).
“Harga tersebut termasuk kambing, ayam, tenderloin dan pelbagai jenis seafood termasuk dua pilihan kuah iaitu tomyam atau sup. Kita juga ada pelbagai jenis pencuci mulut.
“Kalau di dalam sungai kita boleh menempatkan maksimum sehingga 100 orang manakala di persisiran sungai sebanyak 120 tempat duduk,” ujarnya yang menggalakkan orang ramai untuk melakukan tempahan awal bagi mengelakkan kekecewaan. – WILAYAHKU