SULTAN Kedah, Sultan Al-Aminul Karim Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah berkenan menyempurnakan Istiadat Penganugerahan Panji-Panji Rejimen kepada Batalion Ke-23 Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) di Kem Perdana Sungai Besi hari ini.
Baginda bertitah setiap warga pasukan batalion perlu mempertahankan asas profesionalisme ketentaraan melalui amalan nilai-nilai rejimental.
“Teguhkanlah disiplin dan sentiasalah berusaha untuk meneruskan wadah perjuangan bagi menghadapi segala kemungkinan yang bakal mendatang.
“Ingatlah anda semua merupakan nadi dalam memacu tonggak kecemerlangan dan tekad rakyat untuk menjadi bangsa yang berjaya. Janganlah sampai kita alpa dan leka kerana kelak kita sendiri yang akan binasa,” titah baginda ketika menyempurnakan Istiadat Penganugerahan Panji-Panji Rejimen kepada Batalion Ke-23 RAMD.
Baginda menzahirkan rasa bangga melihat perbarisan yang dipersembahkan oleh pasukan RAMD.
“Perbarisan ini amat unik dan mempunyai keistimewaannya kerana ia julung kali diadakan untuk penganugerahan Panji-Panji Rejimen baharu kepada Batalion Ke-23 RAMD.
“Seiring matlamat penganugerahan Panji-Panji Rejimen, beta percaya bahawa ia akan menjadi denyut nadi kepada seluruh warga Batalion Ke-23 RAMD,” ujar baginda.
Terdahulu, sebanyak 44 Panji-Panji Rejimen dianugerahkan kepada Rejimen dan Kor di dalam Tentera Darat dengan disertai oleh 23 pegawai dan 386 anggota lain-lain pangkat yang diketuai oleh Pegawai Memerintah, Leftenan Kolonel Mohd Azrou Ariffin Shah. – WILAYAHKU