KERAJAAN Perpaduan kekal komited meneruskan program intervensi melalui inisiatif Payung Rahmah dan Jualan Agro Madani, meskipun kadar inflasi dalam negara telah mereda kepada 2.0 peratus iaitu kadar terendah dalam tempoh hampir dua tahun.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata inisiatif berkenaan diteruskan dengan kerjasama kerajaan negeri yang akan memanfaatkan rakyat dalam usaha berterusan Kerajaan Perpaduan menangani isu kos sara hidup rakyat.
Anwar dalam kenyataan selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Tindakan Sara Hidup Negara (NACCOL) Bilangan 2 Tahun 2023 hari ini, berkata sebanyak tiga kertas pertimbangan dan dua kertas makluman menjurus isu kos sara hidup dibentangkan pada mesyuarat itu.
“Mesyuarat telah berbincang berkenaan dengan kawalan harga bagi ayam bulat standard dan telur ayam yang dilaksanakan sejak Februari 2022.
“Adalah penting supaya hala tuju kawalan harga ayam dan telur ini dapat dimuktamadkan bagi memastikan kelangsungan rantaian bekalan,” kata beliau. – BERNAMA