Berita

Kontinjen Sukan Asia mampu lebihi sasaran 27 pingat – Mohamad Norza

MOHAMAD NORZA ketika bergambar bersama peserta-peserta Netball Super League (NSL) pada pelancaran kejohanan tersebut hari ini. Kredit foto: Bernama
- Diterbit 2 Oktober 2023 9:30 AM MYT

PRESIDEN Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Tan Sri Mohamad Norza Zakaria yakin kontinjen negara mampu mengutip melebih sasaran 27 pingat di Sukan Asia Hangzhou 2022.

Beliau berkata ini berdasarkan momentum dan prestasi semasa kontinjen negara yang telah merangkul  keseluruhan 20 pingat dengan tiga emas, empat perak dan 13 gangsa di temasya sukan empat tahun sekali itu.

“Saya berharap atlet yang masih lagi berjuang mempunyai semangat lebih untuk teruskan percapaian.

“Kita berada di landasan tepat untuk mencapai sasaran (27 pingat) tersebut. Saya yakin lebih daripada 27,” katanya selepas melancarkan Netball Super League (NSL) 2023 di sini hari ini.

Beliau berharap rakyat Malaysia akan terus bersama-sama mendoakan kejayaan kontinjen negara merangkul lebih banyak pingat terutamanya emas untuk negara di temasya itu yang akan melabuhkan tirainya pada 8 Oktober.

Dalam pada itu, Mohamad Norza berharap lebih ramai atlet kebangsaan dapat dihantar untuk berpangkalan di luar negara pada masa depan dalam usaha memastikan mereka setaraf atlet berkelas dunia.

Beliau berkata ia berdasarkan kejayaan dua atlet olahraga yang berpangkalan di Amerika Syarikat,  Muhammad Azeem Mohd Fahmi dan Shereen Samson Vallabouy yang berjaya meraih pingat pada penampilan sulung mereka di Sukan Asia.

“Selayaknya atlet yang layak perlu keluar negara. Kerajaan perlu cari dana yang bersesuaian sama ada daripada kerajaan sendiri atau sektor swasta untuk mencapai impian mereka menjadi atlet berkelas dunia,” katanya.

Shereen dan Muhammad Azeem menyumbang pingat gangsa masing-masing dalam acara 400 meter (m) dan 100m yang berlangsung di Stadium Olimpik Hangzhou pada Sabtu lepas.

Sementara itu, mengenai NSL 2023, Mohamad Norza berkata liga itu amat penting sebagai usaha menggalakkan penglibatan wanita dalam sukan.

“Usaha Persatuan Bola Jaring Malaysia (PBJM) wajar diberi pujian bukan sahaja bagi memacu penglibatan wanita dalam sukan prestasi tinggi tetapi juga memastikan kesaksamaan gender diperkasakan dengan memartabatkan bola jaring sebagai sukan berprofil tinggi,” katanya.

NSL 2023 yang dijadual berlangsung dari 13 Okt hingga 5 November di Stadium Juara, Bukit Kiara, menyaksikan saingan pasukan Johor Jewels, KL Wildcats, Selangor Angels, Perak Phoenix, Negeri Sembilan Venom, Pahang Tulips serta dua pasukan baharu, Terengganu Marvel dan Putrajaya Dynamites.

Saingan musim ini dirancakkan dengan kehadiran 11 pemain import dari Uganda, Afrika Selatan, Singapura, United Kindom, Thailand, Brunei dan Sri Lanka. – BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas