TERKEJUT ada, hairan pun ada. Itulah perasaan Adi apabila membaca laporan media mengenai cadangan ‘mengembalikan’ semula Wilayah Persekutuan (WP) Kuala Lumpur ke pangkuan negeri Selangor.
Terkejut kerana tidak pernah menduga akan muncul cadangan seperti itu. Hairan kenapa selepas 49 tahun Kuala Lumpur menjadi WP, timbul isu mahukan ia kembali menjadi sebahagian negeri Selangor.
Umum mengetahui Kuala Lumpur, ibu negara Malaysia, asalnya berada dalam negeri Selangor dan merupakan ibu negeri serta pusat pentadbiran negeri itu.
Kedudukan Kuala Lumpur dianggap istimewa kerana melaksanakan fungsi serampang dua mata sebagai ibu negara dan ibu negeri. Tiada bandar lain di Malaysia yang mempunyai kedudukan unik seperti ini.
Untuk sekian lama Kuala Lumpur, yang berkeluasan 243.65 kilometer persegi, melaksanakan fungsi ini dengan lancar dan jaya tanpa sebarang masalah berbangkit. Kemajuan yang dicapai memberi manfaat kepada ibu negara dan pada masa sama kepada negeri Selangor.
Pada 1 Februari 1972, Kuala Lumpur menempuh era baru apabila ia memperoleh taraf bandar raya, menjadikannya penempatan pertama di Malaysia dikurniakan status itu sejak mencapai kemerdekaan.
Penganugerahan tersebut diberikan oleh Yang di-Pertuan Agong Kelima, Almarhum Sultan Abdul Halim Muadzam Shah ibni Almarhum Sultan Badlishah. Ia merupakan penganugerahan yang sangat besar maknanya dalam sejarah negara.
Istiadat penganugerahan taraf bandar raya disempurnakan oleh Menteri Teknologi, Penyelidikan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Ong Kee Hui, di bangunan parlimen. Upacara bersejarah ini dihadiri oleh menteri-menteri kabinet, ahli-ahli parlimen, ketua perwakilan asing dan para pegawai kanan kerajaan.
Serentak perisytiharan itu, Tan Sri Lokman Yusuf yang ketika itu Pesuruhjaya Ibu Kota dilantik sebagai Datuk Bandar Kuala Lumpur pertama. Fungsi kerajaan tempatan itu kemudian diambil alih oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).
Memang sangat bertepatan anugerah bandar raya bagi Kuala Lumpur, sesuai dengan kedudukannya sebagai ibu negara yang berkembang pesat menjadi pusat pentadbiran, ekonomi dan kewangan negara. Ia telah berjaya meletakkan diri sebagai antara bandar raya termaju dan terkenal di dunia.
Sudah pasti kehebatan ini turut melonjakkan nama negeri Selangor. Secara tidak langsung kehebatan Kuala Lumpur sebagai ibu negara memberi tempias manfaat kepada Selangor kerana Kuala Lumpur ialah ibu negeri. Kiranya bertuah Selangor berkongsi ibu negeri dengan persekutuan.
Setelah sekian lama berfungsi sebagai ibu negara dan ibu negeri Selangor, sejarah dicipta pada 1 Februari 1974 apabila Kuala Lumpur diisytihar menjadi WP menurut ‘Perjanjian Kuala Lumpur 1974’.
Dengan perjanjian itu Selangor menyerahkan Kuala Lumpur kepada kerajaan pusat. Ini bererti Kuala Lumpur sudah ‘bercerai’, tiada apa ikatan lagi dengan negeri Selangor.
Majlis penyerahan diadakan di Istana Negara dengan dihadiri oleh Raja-Raja Melayu. Kerajaan Selangor diwakili oleh Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah ibni Almarhum Sultan Hishamuddin Alam Shah. Kerajaan Malaysia diwakili oleh Yang di-Pertuan Agong, Sultan Abdul Halim Muadzam Shah.
Turut hadir pada majlis bersejarah itu ialah Perdana Menteri, Tun Abdul Razak Hussein dan Menteri Besar Selangor, Datuk Harun Idris. Acara tersebut disiarkan secara langsung oleh Radio Televisyen Malaysia (RTM).
Sejak itu Kuala Lumpur berdiri di atas kaki sendiri sebagai sebuah wilayah yang ditadbir oleh kerajaan persekutuan, terus berkembang maju sebagai ibu kota Malaysia serta pusat pentadbiran dan kewangan negara.
Negeri Selangor pula mendapat ibu negeri baharu. Sebuah kawasan Batu Tiga dibangunkan sebagai pusat pentadbiran negeri itu, diberi nama Shah Alam, sempena nama Sultan Hishamuddin Alam Shah.
Sementara WP Kuala Lumpur pula terus berkembang dengan pengisytiharan Labuan sebagai WP kedua pada 16 April 1984. Ini diikuti dengan pengisytiharan Putrajaya sebagai WP ketiga pada 1 Februari 2001.
Pusat pentadbiran negara di Kuala Lumpur dipindahkan ke Putrajaya pada 1999. Labuan pula menjadi pusat kewangan pesisir pantai.
Yang ingin Adi tekankan ialah kini setelah 49 tahun Kuala Lumpur menjadi WP, kenapa tiba-tiba tercetus cadangan mahukan ia kembali bergabung dengan Selangor. Ibaratnya seperti Kuala Lumpur ‘rujuk’ kepada Selangor.
Cadangan ini disuarakan oleh Ahli Parlimen Petaling Jaya, Lee Chean Chung, ketika membahaskan Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia ke-12 (RMK-12) di Parlimen baru-baru ini. Alasan beliau, pembangunan Kuala Lumpur dan Selangor memerlukan anjakan baharu.
Selain itu katanya, penyatuan ini akan membolehkan pembangunan bersepadu lebih mampan dapat dilaksanakan. Seterusnya ia boleh melahirkan kuasa ekonomi baharu di rantau ini bagi menyaingi negara lain.
Pada pandangan Adi, isu menyatukan kembali Kuala Lumpur dengan Selangor tidak harus ditimbulkan ketika ini atau pada masa hadapan. Tiada keperluan berbuat demikian. Ini kerana Kuala Lumpur telah menjadi sebuah entiti sah dan berdaulat sejak 1 Februari 1974.
Untuk menyatukan ia kembali dengan Selangor adalah satu langkah ke belakang dan melanggar perjanjian yang dicapai. Adi rasa negeri Selangor sendiri tidak ada cita-cita atau menaruh cebisan harapan untuk kembali bertaut dengan Kuala Lumpur. Ia sudah bahagia dengan keadaannya kini.
Jika hendak dikaitkan dengan kemajuan ekonomi, prestasi Kuala Lumpur nyata membanggakan. Keluaran Dalam Negara Kasar (GDP) berada pada paras 9.2 peratus pada tahun 2022, melebihi GDP negara sebanyak 8.7 peratus.
Sebarang bentuk penyatuan juga boleh menimbulkan ‘kekecohan’ yang boleh mengganggu kelancaran sistem pentadbiran. Ini kerana Kuala Lumpur sudah mempunyai struktur pentadbiran sendiri diketuai oleh Datuk Bandar. Selangor pula diketuai oleh Menteri Besar.
Masing-masing ada agenda dan perancangan sendiri memajukan negeri dan wilayah. Biarkan ini berterusan kerana terbukti sejak perpisahan, Kuala Lumpur dan Selangor berjaya menempa kejayaan membanggakan.
Kuala Lumpur sendiri sentiasa dalam perhatian kerajaan persekutuan dan dijaga dengan baik sejajar fungsinya sebagai ibu negara dan pusat ekonomi. Justeru bagi Adi memang tidak ada apa yang harus dibimbangkan mengenai kemampuannya untuk maju tanpa perlu bersama Selangor.
Namun Adi tidak ada masalah jika Kuala Lumpur hendak bekerjasama dengan Selangor dalam perkara tertentu, misalnya pembangunan dan pertumbuhan ekonomi. Itu memang wajar dalam mencapai matlamat menang-menang.
Bagaimanapun tidaklah perlu untuk kembali bersatu seperti dahulu. Biarkan kisah yang lalu itu berlalu. Masing-masing sudah ada haluan sendiri. Hadapilah masa depan dengan yakin di atas kekuatan sendiri. Adi—Sayang Kuala Lumpur