Berita

Dua maut dalam kemalangan libat enam kenderaan di Putrajaya

||||
- Diterbit 20 September 2023 4:00 AM MYT

DUA individu disahkan maut dalam kemalangan jalan raya membabitkan enam kenderaan termasuk sebuah motosikal pengiring di kilometer (KM) 5.7 Jalan Persiaran Utara menghala ke Puchong berhampiran susur keluar persiaran timur, Putrajaya hari ini.

Ketua Polis Daerah Putrajaya, Asisten Komisioner A. Asmadi Abdul Aziz berkata nahas dipercayai berlaku apabila sebuah lori treler muatan pasir hilang kawalan terlebih dahulu melanggar railing sebelum merempuh beberapa kenderaan yang sedang berhenti.

“Dua penunggang motosikal termasuk anggota polis pengiring yang sedang melakukan Latihan Dalam Perkhidmatan (LDP) sempat menyelamatkan diri.

“Akibat kemalangan terbabit, dua lelaki warga tempatan berusia 23 dan 39 tahun disahkan meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya.

Katanya, kejadian terbabit turut mengakibatkan tujuh mangsa cedera dan sedang menerima rawatan di Hospital Putrajaya dan Hospital serdang.

“Mangsa-mangsa yang cedera sedang dirawat di wad kecemasan zon merah, kuning dan pesakit luar sementara dua jenazah terbabit masih di bahagian Forensik bagi proses post mortem dan pengecaman oleh ahli keluarga,” katanya.

Ujarnya, siasatan lanjut sedang dijalankan manakala pemandu lori trailer telah ditahan untuk siasatan mengikut seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas