Berita

KL Genta serikan malam Sambutan Hari Malaysia di Dataran Merdeka

ANTARA aksi tarian tradisional pada malam Festival KL Genta 2023.
- Diterbit 16 September 2023 4:24 PM MYT

SUASANA malam di Dataran Merdeka dibanjiri seluruh rakyat Malaysia dari pelbagai kategori bangsa, budaya dan agama sempena Festival Gendang dan Tari Kuala Lumpur atau lebih senonim dengan KL Genta 2023.

Festival ini merupakan acara bagi memeriahkan malam kemuncak Sambutan Hari Malaysia yang dirai pada setiap 16 September dibawah anjuran Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) melalui Jabatan Kebudayaan, Kesenian, Pelancongan dan Sukan (JKPS).

Menariknya, acara yang dianjurkan buat kali ketujuh semenjak 2014 ini berkonsepkan persembahan kesenian pergendangan dan tarian tradisi yang mempamerkan keunikan muzik pergendangan, budaya, busana, kostum serta seni warisan dari setiap negeri.

Menurut DBKL, sebanyak lapan kumpulan persembahan yang terlibat bagi edisi kali ini iaitu terdiri daripada Majlis Bandaraya Kuantan, Majlis Bandaraya Melaka, Majlis Bandaraya Petaling Jaya dan Kumpulan Kesenian Mah Meri Klang.

“Selain itu, ia juga melibatkan Pertubuhan Seni Budaya Sabah, Kuala Lumpur dan Selangor (PERSENIBAH), Kumpulan Persatuan Chingay Pulau Pinang, Kumpulan Tarian/Pergendangan Cina dan India termasuk Kumpulan Sumatera Etnik Medan, Indonesia.

“Malah ia juga turut disertai oleh Kumpulan Kesenian DBKL serta Pasuka Rebana Ubi dari Jabatan Penguatkuasaan DBKL dan artis budaya Malay World Cultural Paradise (MWCP Creative Troupe) dengan penampilan khas oleh Noraniza Idris,” jelasnya.

Tambah DBKL, festival pada malam ini menyaksikan Majlis Bandaraya Petaling Jaya telah dianugerahkan sebagai pemenang persembahan terbaik bagi KL Genta 2023.

DBKL berharap program ini dapat mengetengahkan lagi kebudayaan dan kesenian tradisional masyarakat berbilang kaum di Malaysia di samping memastikan budaya tradisi di Malaysia dapat kekal relevan di negara.

Terdahulu, Festival KL Genta 2023 merupakan sebahagian daripada pengisian aktiviti bagi Festival Permainan Malaysia (FPM) yang berlangsung pada 15 hingga 17 September di Dataran Merdeka, Jalan Raja, Kuala Lumpur.

FPM merupakan anjuran Jabatan Kebudayaan, Kesenian Negara (JKKN) dengan menghimpunan pelbagai permainan tradisional di setiap negeri di Malaysia antaranya tarik tali, galah panjang, congkak, gasing dan banyak lagi. -WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas