Berita

Anak sindrom down, ratu cantik berkongsi pentas fesyen

||HANIZAN (kiri) bersama Pengasas Nottingheels
- Diterbit 16 September 2023 10:42 AM MYT

SERAMAI 49 orang kanak-kanak sindrom down terpilih bakal berkongsi pentas bersama 21 orang ratu cantik Malaysia sempena Program An Evening of Truly Malaysia Festival Charity Gala Dinner Fashion Runway pada 4 November ini di Dewan Wawasan, Cheras PGRM.

Mereka akan memperagakan koleksi kasut pereka terkenal Malaysia iaitu Nottingheels dan Bloomskin pada program anjuran Pertubuhan Pemulihan Dalam Komuniti Sindrom Down (PPDKSD) dengan kerjasama Projek Extra Chromosome Extra Awesome Festival (ECEAF).

Menurut Pengerusi PPDKSD, Hanizan Hussin, program tersebut adalah inisiatif pihaknya untuk meraikan keunikan dan kebolehan individu berkeperluan khas, terutamanya anak-anak sindrom down.

An Evening of Truly Malaysia, Festival Charity Gala Dinner Fashion Runway merupakan kemuncak acara mencungkil bakat fashion runway anak-anak yang terdiri daripada lima persatuan atau pertubuhan.

“Seramai 49 orang finalis telah terpilih daripada 91 peserta yang berdaftar seterusnya finalis yang terpilih berpeluang beraksi di pentas peragaan bersama dengan 21 orang ratu cantik.

“Mereka juga diberi peluang memperagakan koleksi rekaan fesyen tradisional eksklusif dan terkini daripada tujuh pereka fesyen tempatan seperti Nanabridal Kuala Lumpur, Collar KL, Adore Kids, Anak Jantan Kuala Lumpur, Rahsia, Khatam, Starvillion dan ramai lagi,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Freedom Festival: Embracing Every Ability Independence & Malaysia Day Celebration di Malakat Mall, hari ini.

HANIZAN (kiri) bersama Pengasas Nottingheels, Amy Chiew (tengah) dan Hafida menunjukkan antara pilihan kasut yang akan dilelong pada malam tersebut.

Tambahnya, kemuncak majlis adalah program Auction untuk setiap rekaan kasut dan fesyen di mana hasil jualan akan disumbangkan sepenuhnya ke akaun ECEAF.

“Selain mengumpul dana pengoperasian pertubuhan, kita juga dapat mengenali dan mencungkil bakat terpendam yang ada pada anak sindrom down, meningkatkan keyakinan diri dan memberi pendedahan terhadap dunia fesyen,” ujarnya.

Majlis makan malam amal itu juga turut dimeriahkan dengan persembahan bertenaga dan eksklusif daripada artis jemputan antaranya Datuk Zainal Abidin Mohamed, Hafiz Suip, Ayu Damit dan Zahid AF2.

Bagi yang berminat untuk menyertai atau ingin mengetahui maklumat lanjut, boleh menghubungi talian 019-669 6494 atau [email protected] atau [email protected] atau hubungi 019-476 5109 (Asma’).

Terdahulu, ECEAF merupakan gabungan beberapa pertubuhan yang memperkasakan kebajikan dan hak golongan sindrom down, iaitu Pertubuhan Pemulihan Dalam Komuniti Sindrom Down (PPDKSD) Putrajaya, Persatuan Kebajikan Anak Anak Istimewa Selangor (ORKIDS) dan Persatuan Warga Sindrom Down Selangor (PWSDNS). – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas