Singgah

Selami spesies hidupan laut, prasejarah di Wetland Studios Putrajaya

DATUK Norman di hadapan salah satu Megalodon terbesar di Wetland Studios.
- Diterbit 8 September 2023 9:00 AM MYT

SELEPAS melancarkan 12 ruangan di aras atas dan aras tanah pada Mei lalu, kini Taman Tema Didik Hibur pertama di Malaysia, Wetland Studios Putrajaya sekali lagi menarik perhatian pengunjung khususnya kanak-kanak dengan tarikan terbaharunya iaitu pameran spesies hidupan laut yang dinamakan Deep Sea Treasures.

Terletak di aras bawah tanah kompleks tersebut, ruangan ini terbahagi kepada tiga zon pameran iaitu Marine Monsters, Sam’s Water World dan Ocean Jewels yang akan membawa pengunjung menyelami khazanah serta mendalami ilmu mengenai spesies lautan yang menakjubkan.

DATUK NORMAN

Pengerusi Eksekutif Wetland Studios Sdn Bhd, Datuk Norman Abdul Halim berkata tarikan utama di ruangan ini adalah Titan of The Deep dan Megalodon terbesar di Asia Tenggara yang menampilkan haiwan pemangsa yang telah pupus serta spesiesspesies lautan prasejarah seperti Mosasaurus, Lchthyosaur, Plesiosaurus dan Dunkleosteus di bahagian Marine Monsters.

“Menariknya, pengunjung juga dapat melihat kisah penceritaan seekor penyu bernama Sam yang berkongsi tentang peranan air di dalam ekosistem kehidupan selain mereka boleh mendengar pengalaman yang dilalui oleh Sam di dalam laut.

“Satu lagi ruang yang pastinya memberi pengalaman mengasyikkan buat pengunjung adalah pameran hidupan marin di bahagian Ocean Jewels di mana ruangan ini dikelilingi obor-obor dengan konsep bercahaya yang pastinya akan menarik pengunjung untuk berswafoto,” katanya kepada Wilayahku.

Menurutnya, tiga tarikan menarik di ruangan ini diwujudkan bertujuan memberi pengalaman seolah-olah pengunjung sedang berada di dunia hidupan laut tersebut selain ingin mereka mendalami interpretasi dan menghargai kehidupan alam sekitar.

“Terdapat dunia yang penuh dengan spesies hidupan luar biasa di dalam laut, namun kadangkala secara tidak sengaja kita telah memudaratkan mereka  dengan sampah sarap dan sebagainya.

“Justeru, penting bagi kita mempelajari cara menjaga air di tanah lembap, sungai dan laut.Dengan kewujudan ruangan seperti ini, pengunjung dapat merasai pengalaman unik di samping naratif utama kami dalam menyampaikan maklumat tentang kepentingan alam sekitar dan perlindungan hidupan liar tercapai,” ujar beliau yakin Wetland Studios Putrajaya juga akan menjadi tarikan pengunjung dari dalam dan luar negara.

PAMERAN MARIN PELBAGAI TEKNOLOGI

DATUK YONG LAM 

SEMENTARA itu, Pengarah Urusan Wetland Studios Sdn Bhd, Datuk Yong Lam Woei berkata Deep Sea Treasures juga mempamerkan spesies marin prasejarah dan masa kini dalam bentuk animatronik dan replika dengan maklumat yang disampaikan secara menghiburkan oleh watak animasi melalui sistem audio dan video.

“Kelebihan utama kami adalah menawarkan pengalaman buat pengunjung melalui pembangunan kandungan didik hibur mengasyikkan dengan teknologi Industrial Revolution (IR) 4.0 yang digabungkan dengan perkhidmatan daripada Rangers yang merupakan kru hospitaliti kami.

“Ia juga selaras dengan tema Wetland Studios iaitu taman tema didik hibur yang berasaskan teknologi seperti Hologram, Interactive Projection, Augmented Reality (AR) dan Virtual Reality (VR) dan juga kandungan digital yang menampilkan pelbagai watak animasi,” katanya.

Semenjak perasmiannya pada 26 Mei lalu, Wetland Studios Putrajaya telah menjadi pusat pembelajaran khususnya dalam kalangan pelajar sekolah di mana ia berjaya mendapat lebih 5,000 kunjungan lawatan murid prasekolah dan sekolah rendah dari serata tanah air.

Lam Woei berkata Wetland Studios adalah sebuah taman tema yang berkonsepkan edutainment di mana ia menyajikan pelbagai jenis informasi dan pengetahuan berkenaan sejarah bumi, peranan penting air serta ekosistem pelbagai hidupan seperti mamalia, reptilia, amfibia, ikan pada setiap zon pameran yang disediakan.

“Untuk menambahkan pemahaman dan pengetahuan mereka, kita juga turut meletakkan papan perkongsian maklumat yang diperoleh dengan kerjasama pelbagai pihak universiti dan kajian tertentu.

“Namun, apa yang pasti kita mahu semua golongan sasar M40 dan B40 khususnya merasai pengalaman menakjubkan di sini dengan harga yang berpatutan dan mampu milik,” katanya pihak sekolah yang ingin mendapatkan pakej istimewa boleh menghantar e-mel kepada [email protected] bagi mendapatkan tawaran istimewa tersebut.

Terdahulu, Wetland Studios Putrajaya yang merupakan sebuah syarikat usaha sama yang diperbadankan di Malaysia antara KRU Studios Sdn Bhd dan Wegrow Edutainment Sdn Bhd menawarkan 15 zon pameran seperti Stegodon’s Big Break, Jungle Jive, Flamingo Parade, SkyDreamsVR, EduPlay Center, Insectopia, Dinosaur Encounter dan banyak lagi.

Harga bagi setiap kemasukan adalah bermula RM15 sehingga RM30 bagi dewasa dan kanakkanak warganegara Malaysia manakala bagi pelancong luar negara adalah bermula harga RM20 sehingga RM45.– WILAYAHKU 

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas