TIADA maaf bagimu buat para penghuni flat di Wilayah Persekutuan (WP) Kuala Lumpur dan WP Putrajaya jika flat didapati masih kotor menjelang Januari 2024. Tindakan tegas akan diambil dengan mengenakan denda sehingga RM1,000 bagi setiap kali kesalahan.
Peringatan keras ini diberi oleh Pengarah Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) Wilayah Persekutuan, Ummi Kalthum Shuib baru-baru ini. Beliau sangat tidak puas hati dengan sikap para penghuni kediaman strata ini yang meliputi 2,033 Badan Pengurusan Bersama (JMB) di dua WP tersebut.
Adi faham amaran keras ini perlu diberi kerana pihak SWCorp sudah letih bertolak ansur sejak sembilan tahun lalu dengan penghuni tetapi masih tidak membuahkan hasil. Penghuni tetap dengan tabiat membuat kotor di kawasan kediaman mereka.
Seperti kerap dilaporkan media, taraf kebersihan di banyak flat di ibu negara dan Putrajaya begitu tidak memuaskan. Sampah dibuang di sana sini sehingga menyakitkan pemandangan, ditambah dengan bau busuk kekotoran.
Walaupun pesanan dan peringatan diberi oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) atau Perbadanan Putrajaya, ia bagai tidak didengar. Sepertinya penghuni suka tinggal dalam persekitaran sedemikian dengan mengabaikan aspek kebersihan.
Mungkin tidak semua penghuni bersikap buruk. Tetapi perbuatan segelintir di antara mereka sudah cukup mewujudkan persekitaran tidak bersih dan tentunya ini juga boleh memberi kesan kesihatan serius jika dibiar berterusan.
Kerana itu Adi anggap peringatan yang diberi oleh SWCorp wajar sebagai peringatan akhir untuk para penghuni mengubah sikap. Sudah sembilan tahun SWCorp bertolak ansur, kesabaran sudah sampai ke kemuncak.
Menjelang fajar 2024 nanti, jika masih terus degil terimalah akibatnya. Bersedialah membayar denda dikenakan. Masih ada masa untuk memperbaiki diri jika ingin berubah.
Benar, bukan mudah untuk mendidik kebersihan memandangkan penghuni flat ramai dengan gaya dan kelakuan masing-masing. Justeru menjadi tanggungjawab pihak JMB menyelesaikan isu ini dengan penghuni. Tugas berat dan mencabar, tetapi perlu dilakukan.
Seharusnya para penghuni bekerjasama dengan SWCorp yang berusaha mewujudkan persekitaran bersih dan selesa. Semua adalah untuk kebaikan penghuni. Kenapa menolak tujuan baik ini?
Bayangkan, penguatkuasaan kerana membuat kotor ini sepatutnya sudah bermula pada 2015. Tetapi SWCorp masih bertolak ansur tahun demi tahun dengan memberi kelonggaran penguatkuasaan sehingga kini.
Namun ternyata penghuni tidak berubah. Keadaan masih sama selepas hampir sembilan tahun berlalu. Tidak hairanlah perbadanan itu menegaskan tiada lagi tolak ansur menjelang 2024. Pada Adi memang sesuai pihak SWCorp mengambil pendirian tegas ini.
Tiada makna lanjutan tambahan jika tiada apa perubahan berlaku. Justeru perlu ada noktah di atas ‘timbang rasa’ SWCorp ini. Kini adalah masa untuk bertindak. Jika diberi nasihat enggan mendengar, mungkin tindakan tegas boleh mengubah keadaan.
Walaupun Adi berpendapat lebih baik penghuni sedar sendiri dan tidak perlu pihak berkuasa memberi amaran, nampaknya ia tidak berlaku. Penghuni mungkin lebih suka dididik dengan cara diberi amaran daripada timbul kesedaran sendiri untuk memperbaiki diri.
Pada masa ini dianggarkan terdapat 5,500 skim strata di ibu negara, merangkumi lebih 750,000 unit rumah di bawah pengurusan 1,978 JMB yang diperakui oleh pihak DBKL.
Di Putrajaya pula, terdapat lebih 3,000 unit kediaman strata melibatkan 55 JMB. Ini termasuk kuarters untuk petugas Kementerian Kesihatan dan Kementerian Pendidikan.
Memang banyak unit rumah strata ini di Kuala Lumpur dan Putrajaya. Dengan kedudukan masing-masing di dalam ibu negara dan pusat pentadbiran negara, adalah sangat menjelekkan pemandangan jika flat-flat dalam keadaan tidak bersih.
Keadaan ini boleh menimbulkan tanggapan tidak baik terhadap mutu kebersihan perumahan di ibu negara yang menjadi pusat ekonomi dan kewangan, serta Putrajaya yang menjadi nadi pentadbiran negara.
Memetik Ummi Kalthum, sebahagian besar kekotoran di flat adalah kerana sikap penghuni yang suka mencampur aduk sampah dalam satu bekas. Lebih 80 peratus sampah dalam beg plastik ada sisa bahan tertentu yang boleh dikitar semula.
Namun kerana kegemaran mencampur aduk, bahan ini menjadi busuk lantaran bercampur dengan pelbagai benda lain. Kerana itu kita dinasihat mengasingkan barangan yang hendak dibuang. Bahan boleh dikitar semula diletak dalam bekas khas. Berapa ramai yang mematuhi peraturan ini?
Adi difahamkan, dalam usaha menangani masalah kekotoran di flat, sebaik dilantik menerajui SWCorp Wilayah Persekutuan pada 2021, Ummi Kalthum telah membentuk rangka kerja pantas dengan menubuhkan unit JMB di agensi tersebut.
Pasukan tindakan khas yang ditubuh bertindak melawat semua kediaman berstrata sejak tahun lalu. Tujuannya untuk melakukan audit senario rumah sampah dan situasi kekotoran di kawasan terlibat.
Sepatutnya, pihak SWCorp boleh sahaja mengeluarkan kompaun kerana kekotoran. Bagaimanapun agensi tersebut mengamalkan sikap tolak ansur dengan menyerahkan notis amaran keras kepada JMB dengan harapan akan ada perubahan sikap dalam kalangan penghuni.
Sayangnya walaupun pihak JMB mengadakan siri kempen kesedaran dalam kalangan penghuni, tiada perubahan berlaku setelah beberapa tahun berlalu. Mungkin JMB juga sudah penat berusaha tetapi penghuni tidak ambil peduli.
Sebenarnya, selain isu kekotoran flat yang kerap disuarakan, ada juga isu lain yang sering dikaitkan dengan flat. Misalnya penghuni tidak menjaga kemudahan yang disediakan dengan baik, malah ada yang sengaja merosakkan kemudahan awam.
Kerap kali dilaporkan lif di flat Projek Perumahan Rakyat (PPR) atau Perumahan Awam (PA) sering rosak atau menjadi mangsa vandalisme. Butang lif sengaja dirosak, wayar dicabut menyebabkan lif tidak berfungsi. Bukankah perbuatan ini menyusahkan penghuni sendiri, terutama pada waktu kecemasan?
Selain itu terdapat juga tangan-tangan gatal yang sengaja menconteng dinding lif dengan pelbagai lakaran atau dengan tulisan yang tidak enak dibaca. Ini juga satu bentuk kekotoran yang walau bukan sampah nyata tetapi mengotorkan harta benda awam yang disediakan untuk kemudahan bersama.
Malah ada yang sengaja membuang sampah sarap dalam lif. Sangat tidak selesa menggunakan lif dalam keadaan seperti ini. Tetapi penghuni tiada pilihan.
Adi berharap peringatan daripada SWCorp untuk bertindak tegas terhadap penghuni flat yang membuat kotor akan membuka mata penghuni untuk berubah demi kebaikan bersama. Patuhi juga nasihat daripada JMB dalam usaha menjaga kebersihan.
Perlu ada kerjasama dan pemahaman di kalangan penghuni untuk menjayakan matlamat persekitaran yang bersih dan indah. Jangan jadikan ingatan dan nasihat hanya ibarat mencurah air di daun keladi.
Adi—Badan sihat otak cerdas. – WILAYAHKU