Berita

YWP santuni dua keluarga kurang bernasib baik

GULAM (dua dari kiri) dan Zahrulail (kiri) menghulurkan sumbangan tunai one-off kepada Samsiah, baru-baru ini.
- Diterbit 8 September 2023 8:00 AM MYT

YAYASAN Wilayah Persekutuan (YWP) ­terus aktif menggerakkan ­bantuan kepada mereka yang memerlukan sama ada dalam bentuk barangan mahupun wang tunai.

Terbaharu, YWP tampil ­menghulurkan sumbangan ­bantuan tunai (one-off) kepada isteri dan ibu kepada tiga orang cahaya mata, Nornida Abdullah yang ­menggalas tanggungjawab menyara ­keluarga ­selepas suaminya terlibat kemalangan.

Ahli Lembaga Pemegang Amanah YWP, Gulam Muszaffar Gulam Mustakim bersyukur ­sumbangan tersebut dapat diserahkan dan ­berharap mampu meringankan ­beban yang ditanggung Nornida.

“Saya difahamkan, ­suaminya ­terlibat dalam satu kemalangan jalan raya pada dua tahun lepas sehingga menyebabkan kedua-dua belah ­kakinya patah dan sukar ­untuk berjalan.

“Dia juga memberitahu ­suaminya telah diberhentikan kerja dan ­disebabkan itu dia mengambil ­alih tanggungjawab menyara keluarga selain menjaga seorang anak saudara yang masih bersekolah,” kata beliau kepada Wilayahku.

Gulam berkata dia akan ­bekerjasama rapat dengan pihak YWP untuk mendapatkan ­bantuan selanjutnya daripada pihak-pihak berkaitan untuk membantu ­keluarga tersebut.

Dalam pada itu, Gulam ­bersama pihak YWP turut menghulurkan sumbangan bantuan tunai (one-off) kepada Samsiah Bakar di Kampung Selayang Lama, Kuala Lumpur ­untuk membantu menampung kos perubatannya.

“Difahamkan, pemohon ­menghidap penyakit kencing ­manis, darah tinggi dan buah pinggang. Walaupun dia mendapat bantuan daripada pihak lain tetapi tidak ­dapat menampung kos perubatannya.

“Justeru itu, pihak YWP ­menghulurkan sumbangan tersebut supaya dapat menampung sedikit kos bayaran perubatan dan ­perbelanjaan harian,” ujarnya Samsiah tinggal ­bersama tiga orang anaknya yang masih bersekolah.

Terdahulu, Gulam ­hadir ­menyantuni dan ­menghulurkan ­sumbangan tersebut ­bersama Pengurus Besar Jabatan Pembangunan dan Kesejahteraan Komuniti, YWP, Zahrulail Abdul Rahman. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas