Berita

Doktor hospital awam maut dalam kemalangan jalan raya.

- Diterbit 6 September 2023 6:33 AM MYT

SEORANG doktor lelaki di Hospital awam di sini yang dalam perjalanan ke tempat kerjanya maut dalam kemalangan di Jalan Bukit Kalam, awal pagi tadi.

 

Menurut Ketua Polis Daerah Labuan, Superintenden Mohd Hamizi Halim, kejadian berlaku kira-kira jam 7.40 pagi, mangsa Harivin A/L Longanathan, 30, berasal dari Chemor, Perak disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.

 

” Siasatan awal mendapati kemalangan membabitkan motosikal dan kereta dari arah Jalan Bukit Kalam menghala ke Jalan Sungai Bedaun melalui Jalan Bebuloh.

 

” Sebaik tiba di lokasi kejadian di kawasan selekoh dipercayai penunggang motosikal hilang kawalan ketika melalui selekoh dari arah Jalan Sungai Bedaun hingga bertembung dengan kereta yang dipandu seorang wanita berusia 38 tahun.

 

“Akibat impak kemalangan itu, mangsa parah dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh petugas ambulans,” katanya dalam satu kenyataan media, pada Rabu.

 

Hamizi berkata, siasatan mendapati mangsa dipercayai gagal mengawal motosikal apabila melalui satu selekoh ke kiri jalan sebelum masuk ke lorong pemandu wanita terbabit.

 

Katanya, mayat mangsa telah dibawa menggunakan kenderaan polis ke Unit Forensik Hospital Nukleus Labuan.

 

“Siasatan masih diteruskan dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya lagi. – WILAYAHKU.

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas