Berita

Van Bronckhorst ramal Manchester City ungguli Liga Perdana Inggeris sekali lagi

Soccer Football - Premier League - Manchester City v Chelsea - Etihad Stadium, Manchester, Britain - May 21, 2023 Manchester City's Ilkay Gundogan lifts the trophy as he celebrates with teammates after winning the Premier League Action Images via Reuters/Lee Smith
- Diterbit 7 Ogos 2023 3:42 AM MYT

MANCHESTER City pastinya akan menjadi ramalan ramai peminat bola sepak untuk mendominasi Liga Perdana Inggeris sekali lagi, dengan musim baharu 2023/2024 dijadualkan bermula Jumaat ini.

Bekas pemain Arsenal, Giovanni van Bronckhorst percaya bahawa pasukan di bawah bimbingan Pep Guardiola itu bertambah kuat berbanding sebelum ini, dan mempunyai segala yang diperlukan untuk mempertahankan kejuaraan buat kali keempat berturut-turut sejak musim 2020/2021.

“Mereka (Manchester City) adalah pilihan (untuk memenangi Liga Perdana 2023/2024)… mereka mempunyai jurulatih terbaik di dunia dan seluruh pasukan kelihatan begitu selesa (di bawah Guardiola),” katanya kepada media ketika ditemui pada satu majlis anjuran syarikat penyiaran berbayar Astro, di sini, malam tadi.

Mengenai peluang Arsenal pada musim akan datang, bekas pemain tengah itu berkata pasukan ‘The Gunners’ itu sekali lagi akan menjadi pencabar kuat untuk kejuaraan Liga Perdana selepas menduduki tempat kedua di belakang Manchester City musim lepas.

Jagoan bola sepak berumur 48 tahun yang berasal dari Belanda itu berkata Arsenal pasti akan belajar daripada kesilapan mereka selepas penghujung musim lepas yang mengecewakan, yang menyaksikan mereka mendahului liga selama 248 hari sebelum kehilangan gelaran kepada ‘The Citizens’.

Sementara itu bekas pengurus Rangers dan Feyenoord itu turut meramalkan Liverpool, Chelsea atau Newcastle United menduduki empat tempat teratas liga, yang menjamin penyertaan secara automatik ke pertandingan kelab elit Eropah UEFA Champions League.

Malam tadi, Arsenal mendapat suntikan semangat tinggi untuk cemerlang dalam kempen Liga Perdana baharu mereka apabila memenangi piala Community Sheild dengan menewaskan Manchester City 4-1 menerusi penentuan sepakan penalti berikutan keputusan seri 1-1 selepas tamat tempoh masa permainan di Stadium Wembley, London. – BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas