Biz

Notdathype servis kasut lama jadi baru

NOTDATHYPE menyediakan servis perkhidmatan pembersihan pelbagai jenis kasut sama ada lelaki atau wanita.
- Diterbit 4 Ogos 2023 4:44 AM MYT

MEMANDANGKAN kehidupan harian masyarakat masa kini yang sering sibuk dan ketandusan masa, maka pusat perkhidmatan pembersihan kasut, Notdathype yang terletak di Taman Setiawangsa, Kuala Lumpur menyediakan tampil perkhidmatan mencuci pelbagai jenis kasut.

Diusahakan oleh dua anak muda, Nik Haris Nik Zokipli, 28 dan Qais Amiri Khairil Zaman, 27 sejak Januari lalu, mereka memulakan perniagaan ini apabila melihat kesukaran masyarakat meluangkan masa mencuci kasut sehingga mengabaikan aspek kebersihannya.

NOTDATHYPE menyediakan servis cuci kasut untuk membantu membaik pulih kasut yang sudah kotor dan lama menjadi baharu.

Berkongsi mengenainya, Nik Haris berkata kebersihan kasut adalah antara faktor yang melambangkan cerminan diri seseorang dan berdasarkan pemerhatiannya, ada sesetengah golongan yang minat mengumpul kasut namun mengabaikan penjagaannya.

“Pada pandangan saya, menjaga kebersihan diri bukan hanya terletak pada kekemasan rambut, pakaian dan wangian badan sahaja malah kasut juga menyerlahkan penampilan seseorang.

“Disebabkan itu, timbul idea untuk membuka perniagaan servis cuci kasut ini dan kami melihat ia peluang terbaik untuk membantu membaik pulih kasut yang sudah kotor dan lama menjadi baharu,” katanya kepada Wilayahku.

Menurut Nik Haris, Notdathype menawarkan tiga jenis servis cucian seperti basic cleaning (RM25), deep cleaning (RM35) dan repaint dengan harga bermula RM50 hingga RM200.

QAIS Amiri sedang menunjukkan antara proses pembersihan kasut yang perlu dilakukan.

“Bagi setiap proses pembersihan kasut, kami akan mulakan dengan mengambil gambar kasut tersebut sebagai bukti sebelum memulakan proses pembersihan seterusnya.

“Kemudian, bahagian luar kasut tersebut akan dibersihkan dengan tisu basah khas sebelum dicuci dengan menggunakan span. Selepas itu, cecair pembersih digunakan bagi menanggalkan kotoran yang berlebihan.

“Setelah selesai proses pembersihan, bahagian fabrik kasut disembur dengan pembersih dan diberus dengan bulu kuda untuk menghilangkan kotoran kecil di bahagian tepi kasut selain disembur pewangi anti bakteria sebelum ia dimasukkan ke dalam plastik kedap udara,” katanya.

Tambah Nik Haris, selain pencucian kasut basic dan deep cleaning, Notdathype turut menawarkan servis repaint dengan menggunakan cat semburan pelbagai warna serta servis menampal semula tapak kasut.

SETELAH selesai proses pembersihan, bahagian fabrik kasut disembur dengan pembersih dan diberus dengan bulu kuda untuk menghilangkan kotoran kecil di bahagian tepi kasut selain disembur pewangi anti bakteria sebelum ia dimasukkan ke dalam plastik kedap udara.

Tidak menjanjikan bulan dan bintang

DITANYA tentang cabaran yang dihadapi sepanjang menjalankan perniagaan itu, Nik Haris berkata kadang-kadang kehendak dan persepsi pelanggan agak luar biasa.

“Ramai pelanggan baharu meletakkan harapan tinggi dan ada juga yang beranggapan kasut lama mereka akan berubah kelihatan seperti baru dibeli namun hakikatnya sukar berbuat demikian.

“Kebanyakkan kasut yang diterima materialnya sudah lama berikutan tidak pernah diberikan penjagaan rapi atau tidak dipakai dan semestinya ia sukar diubah seperti kasut baharu selain terpaksa mengambil masa lama untuk diselesaikan.

“Kita tidak mahu janjikan bulan dan bintang. Jadi, apabila berdepan situasi seperti itu, kita akan jelaskan kepada pelanggan supaya mereka faham dan tidak berharap tinggi pada servis yang kami tawarkan,” katanya yang mampu menyiapkan sekurang-kuranya lima hingga 10 pasang kasut sehari dengan anggaran masa 20 minit bagi sepasang kasut.

SELAIN menyediakan servis pembersihan kasut, Notdathype juga menjual pelbagai koleksi kasut di kedainya.

Nik Haris berkata rata-rata pelanggan yang hadir ke kedainya adalah dalam kalangan lelaki namun proses pembersihan kasut perempuan adalah lebih mudah berbanding kasut lelaki.

“Kasut perempuan lebih senang dibasuh berbanding lelaki sebab kecil dan tidak banyak komponen di bahagian kasut. Jadi ia lebih mudah dan cepat,” ujarnya.

Dalam pada itu, Nik Haris berharap agar perkhidmatan cuci kasut ini akan mendapat tempat di pasaran Malaysia di samping memberi kesedaran kepada orang ramai tentang kebersihan dan penjagaan kasut. – WILAYAHKU 

Info Notdathype

Alamat: Taman Setiawangsa, Kuala Lumpur (berdekatan Petronas)
Hubungi: 019-3311535 (Nik Haris)
Waktu operasi: Isnin hingga Ahad (2 petang hingga 12 malam)
Media sosial: Instagram: @notdathype

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas