Berita

DBKL anjur Konsert Chamber KL 2023 percuma

KONSERT Chamber KL 2023 bakal melibatkan orkestra profesional di Malaysia. - Gambar hiasan
- Diterbit 6 Ogos 2023 5:00 AM MYT

DEWAN Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) bakal membawa seluruh warga kota bersama-sama menyaksikan Konsert Chamber Kuala Lumpur 2023 secara percuma di Panggung Bandaraya, Jalan Raja, Dataran Merdeka dalam siri konsert ­pertamanya pada 8 Ogos ini.

Konsert tersebut bertujuan ­memeriahkan suasana muzik klasikal dalam ‘weekdays’ atau hari biasa iaitu pada Selasa.

Menurut DBKL, pada ­konsert tersebut, warga kota akan dipersembahkan dengan lagu-lagu klasik seniman agung Allahyarham Tan Sri P Ramlee yang pastinya dapat mengimbau kenangan lama.

“Antara lagu-lagu yang akan dipersembahkan pada malam itu adalah Getaran Jiwa dan Di Mana Kan Ku Cari Ganti selain ­penonton turut dihiburkan dengan alunan muzik dari Beethoven seperti Septet in E Flat Major, Op 20, Debussy Reverie, Ibert Escales, Hisaishi dan Spirited Away,” jelasnya.

Menariknya ia juga mendapat kerjasama daripada lima orkestra profesional di Malaysia ­seperti Orkestra Kuala Lumpur DBKL, Orkestra Simfoni Kebangsaan Istana Budaya, Orkestra Tradisional Malaysia Istana Budaya, Orkestra Filharmonik Malaysia serta Dewan Filharmonik Petronas.

DBKL berkata, terdapat dua siri konsert yang sama bakal diadakan pada 19 September (Selasa) dan 7 November (Selasa) nanti.

“Kedua-dua siri konsert ini adalah kesinambungan ­daripada Chamber Concert yang pertama di mana ia akan ­mempersembahkan kumpulan kecil ahli muzik daripada orkestra-orkestra di Kuala Lumpur.

“Justeru itu, DBKL ingin ­mengajak orang ramai khususnya warga Kuala Lumpur untuk ­hadir menyaksikan konsert ini. Sesiapa yang berminat untuk ­datang, boleh mendaftar di pautan https://tinyurl.com/2k7b5237 dan untuk sebarang maklumat lanjut, boleh menghantar e-mel kepada Isabella Pek di ­[email protected],” ­katanya. – WILAYAHKU

TIKET percuma menanti penonton.
Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas