PERDANA MENTERI, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan pemergian Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Datuk Seri Salahuddin Ayub adalah satu kehilangan besar buat beliau dan keluarga.
Beliau berkata Salahuddin bukan sahaja seorang sahabat yang setia malah merupakan seorang pemimpin dan pejuang rakyat yang amat disegani.
“Saya amat terkesan tatkala Menteri KPDN dan juga seorang sahabat yang setia telah pergi dijemput Allah SWT hari ini.
“Secara peribadi, ianya satu kehilangan besar buat diri saya dan keluarga. Saudara Salahuddin teguh bersama dalam perjuangan yang panjang ini sehingga ke akhir hayat.
“Jasa budinya tentunya tidak termampu dibalas secara materi,” Ujar Anwar menerusi kenyataan di Facebook.
Tambah Anwar, Salahuddin dikenali dengan sikap keperibadian tinggi sama ada kepada kawan mahupun lawannya.
Selain itu, Anwar turut memberitahu Salahuddin jufa mempunyai sosok yang kuat bekerja serta seorang yang taat pada amanah dan tanggungjawab yang digalas.
“Berehatlah, sahabatku. Semoga Allah SWT memberi kesabaran yang tinggi buat keluargamu, mengampunkan segala dosamu dan semoga saudaraku Salahuddin diberikan tempat yang istimewa di sisinya, Insya-Allah,” jelas Anwar.
Salahuddin meninggal dunia pada 9.23 malam pada usia 61 tahun di Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setah, Kedah.
Semalam, Setiausaha Akhbar kepada Salahuddin , Syakirin Husnal memaklumkan beliau dikejarkan ke wad kecemadan HSB pada 10.15 malam Jumaat setelah mengalami mual serta muntah-muntah sebelum disahkan mengalami pendarahan otak oleh doktor pakar. – WILAYAHKU.