Berita

Zayn Rayyan mati akibat dicekik – Pengarah JSJ

Kredit foto: Polis Petaling Jaya
- Diterbit 8 Disember 2023 7:13 AM MYT

KANAK-kanak malang, Zayn Rayyan Abdul Matiin, 6, yang ditemui mati dipercayai dibunuh adalah berdasarkan kepada hasil bedah siasat yang menemui kesan luka akibat mempertahankan diri kata Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain.

Jelas Shuhaily, hasil bedah siasat itu turut mendedahkan kematian berpunca daripada kecederaan di leher dipercayai akibat dicekik.

“Dalam konteks ini (punca kematian) saya rasa elok saya sebut bedah siasat menemui defensive wound (kecederaan akibat mempertahankan diri).

“Demi menjaga maruah Allahyarham dan keluarga saya rasa memadai saya cakap itu sahaja,” katanya kepada pemberita ketika di temui di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya semalam.

Difahamkan polis dari Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Petaling Jaya dan Bukit Aman tiba 9.30 pagi, hari ini untuk memulakan proses pencarian bahan bukti yang dapat membantu siasatan pembunuhan kanak-kanak autisme itu.

Proses pencarian turut diperluaskan di lokasi penemuan mangsa malah turut dilakukan melalui saliran air kira-kira 600 meter berhampiran apartment terbabit.

Sementara itu, polis turut mengambil keterangan ibu bapa kanak-kanak malang itu sekali lagi bagi membantu siasatan kes pembunuhan kanak-kanak autisme terbabit.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohd Fakhrudin Abdul Hamid berkata, keterangan pasangan itu diambil malam tadi dan mungkin akan diambil sekali lagi.

Menurutnya, keterangan jiran dan saksi juga akan diambil dalam tempoh masa terdekat bagi melengkapkan siasatan.

“Kita ambil keterangan mereka kali kedua malam tadi (kelmarin) dan akan lihat keperluan sekiranya akan ambil lagi maklumat lain,” katanya.

Ketika ini, media turut berkumpul di lokasi penemuan mayat bagi membuat laporan terkini perkembangan siasatan.

Terdahulu, mayat mangsa di temui di saliran air berdekatan takungan air 200 meter dari rumahnya di Apartmen Idaman, Damansara Damai setelah didapati hilang sejak dua hari lalu. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas