Oleh Syuqqree Dain
Video oleh Hasif Halimi
ADA yang memanggil ia sebagai batu nisan dan ada juga mengenalinya sebagai batu penanda kubur, tetapi bagi sesiapa yang tidak biasa jangankan melihat malah mendengar namanya sahaja sudah cukup menakutkan.
Namun bagi Fadzil Jantan, 47, yang berpengalaman dalam membuat batu nisan, kepuk, membaik pulih serta menggali kubur, dikelilingi batu nisan adalah perkara biasa baginya.
Memegang jawatan sebagai ketua kampung di Kampung Teras Jernang yang juga pemilik perniagaan Budak Kubur Enterprise, Fadzil berkata dia mula mengikuti bapanya membuat kerja menggali kubur sejak berusia 14 tahun.
Mengambil masa tiga tahun untuk mempelajari cara-cara membuat batu nisan di sebuah kedai menjual batu nisan bertempat di Rompin, Pahang, Fadzil tekad untuk meneruskan apa yang telah dipelajari dengan membuka Budak Kubur Enterprise.
Bapa kepada empat anak ini juga memasang niat untuk membantu penduduk setempat dengan mengadakan sistem pembayaran secara ansuran bagi individu yang kurang berkemampuan untuk membuat tempahan batu nisan dan kepuk di kedainya.
Bagi proses pembuatan batu nisan dan kepuk di Budak Kubur Enterprise, ia bermula dengan penerimaan tempahan daripada pelanggan diikuti mencari jenis jubin dan bahan dari kedai perkakasan serta pembekal. Jubin untuk membuat kepuk akan dipotong mengikut saiz dan ukuran yang telah ditetapkan oleh Jabatan Agama Islam Negeri Selangor (JAIS), manakala batu nisan seperti jenis Tarazo pula akan dibuat menggunakan acuan buatan sendiri mengikut jenis bahan yang diinginkan.
Batu nisan yang telah siap kering akan melalui proses penggilapan serta melicin menggunakan mesin dan akan dibentukkan mengikut tradisi kaum Melayu iaitu batu nisan bagi jenazah lelaki berbentuk bulat manakala wanita adalah leper atau bersegi. Harga adalah bermula dari RM850 sehingga RM29,000 bergantung kepada saiz, bahan dan reka bentuk kepuk.
Menurut Fadzil, pelanggan dari Johor dan Perak turut pernah menempah set batu nisan di Budak Kubur Enterprise. Tempahan batu nisan akan meningkat pada waktu tertentu antaranya pada musim perayaan dan tempahan diterima mampu mencecah sehingga 70 set sebulan.
Ditanya mengenai stigma masyarakat yang mengganggap tanah kubur sebagai lokasi yang menyeramkan, Fadzil yang mempunyai pengalaman lebih 14 tahun dalam penghasilan batu nisan berkata, beliau tidak menafikan kerana mempunyai pengalaman yang dialami sendiri tetapi baginya tiada apa yang perlu ditakutkan kerana kini tanah perkuburan kelihatan lebih bersih, cantik dan kemas.
Antara pengalaman aneh yang diceritakan Fadzil sepanjang bergelar seorang ‘Pembuat Batu Nisan’ ialah lubang kubur yang sudah digali mengikut ukuran tidak dapat memuatkan si mati lalu terpaksa digali beberapa kali dan ada juga tanah kubur yang mengambil masa lebih empat jam untuk digali sedangkan kebiasaannya hanya mengambil masa lingkungan satu hingga dua jam. – WILAYAHKU