Lensa

Jiwa halus seorang pelukis masyarakat

JAMAL TOMMY menunjukkan hasil karya seninya.
- Diterbit 7 Disember 2023 7:00 PM MYT

Oleh Shuaib Ayob

BERTEMANKAN hiruk-pikuk pengunjung yang lalu-lalang dan sayup suara radio peribadi di Art Lane Pasar Seni, tangan kanannya ligat mewarna potret. Jamal Tumiran atau lebih mesra dikenali dengan panggilan Uncle Jamal Tommy, 56, masih giat berkarya kerana hasil seni tangannya tidak pernah berehat daripada permintaan pelanggan sejak membuka galerinya di pasar itu tujuh tahun lalu.

Tika malam bertambah larut, saat pengunjung beransur-ansur membawa diri, tangannya masih menari-nari di atas kanvas. Susuk tubuhnya masih tegap melawan ngantuk. Semuanya dilakukan demi kepuasan hati pelanggan.

“Bagi saya, jika seseorang itu boleh menghasilkan karya menggunakan medium cat air, dia seorang yang hebat kerana sudah tentu berkarya menggunakan medium yang lain menjadi sesuatu yang mudah,” ujarnya ketika tinjauan Lensa Wilayahku memotret hasil lukisan beliau baru-baru ini.

Anak jati kelahiran Muar, Johor ini menganggap melukis seperti satu terapi dalam kehidupan seharian. Padanya, saat memegang berus cat dan mula memotret, jiwanya terasa tenang dan masalah seperti terbang dibawa konsentrasi.

Pesanan kepada anak muda yang baru hendak berjinak-jinak dalam bidang ini, cubalah jadi diri sendiri, yakin pada bakat dan anugerah yang dikurnia Ilahi dan jangan berhenti menggali ilmu selagi nadi masih berdenyut.

Kepada pembaca yang mempunyai kisah dan hobi yang menarik dan ingin berkongsi kepada kami, sila e-melkan kepada [email protected]. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas