Selebriti

Kaka Azraff terkilan kontrak ditamatkan mengejut

- Diterbit 6 Disember 2023 3:45 PM MYT

“SEBAGAI seorang artis rakamannya dan antara paling lama di Warner Music Malaysia (WMM),  saya percaya, paling kurang, saya seharusnya diberikan sebab rasmi yang menjelaskan mengapa pihak pengurusan memutuskan untuk menamatkan kontrak saya,” luah penyanyi Kaka Azraff,34, apabila kontraknya bersama WMM ditamatkan tanpa alasan kukuh.

Penyanyi lagu Gila  ini berharap pihak WMM dapat memperhalusi alasan penamatan itu kerana kontrak itu sepatutnya masih berbaki beberapa tahun.

Kaka atau nama sebenarnya Nor Atiqa Noor Azraff, 34, memaklumkan dia menerima notis penamatan kontrak terbabit pada 1 Disember lalu tapi sebab-sebabnya tidak dinyatakan dengan jelas.

“Saya tidaklah terkilan apabila kontrak saya ditamatkan, kerana saya percaya rezeki Allah itu luas, tapi saya terkilan ia ditamatkan sedemikian rupa, secara tiba-tiba, tanpa menyatakan sebab dengan jelas atau ruang perbincangan walaupun notis diberikan adalah selama 30 hari,” katanya pada sidang media, di Petaling Jaya, hari ini.

Menurut peguambela Aidil Khalid dari Tetuan Amelda Fuad Abi & Aidil, penamatan itu rentetan daripada mesej langsung (DM) yang dihantar Kaka kepada pelakon Australia, Nathaniel Buzzolic.

“Tiada sebarang sebab munasabah diberikan pengurusan WMM dalam notis penamatan itu. Maka kami minta WMM untuk memperjelaskan perkara ini, adakah benar disebabkan DM Kaka yang bersimpati dan bersolidariti dengan rakyat Palestin dan Gaza, serta menempelak Israel?” katanya.

Aidil juga memaklumkan sudah menghantar surat balasan terhadap notis penamatan itu bertarikh 5 Disember. Intipatinya antara lain mengambil maklum penamatan itu tapi pada masa sama merizabkan segala hak Kaka di sisi undang-undang.

“Tetapi tidak terhad kepada, jika perlu, memfailkan permohonan-permohonan di mahkamah selepas penelitian dan perbincangan yang lebih lanjut di antara kesemua pihak.

“Namun, ini hanyalah jalan terakhir. Sekiranya ia dapat diselesaikan secara baik dengan mengambil pendekatan menang-menang tanpa perlu memanjangkan pertikaian, itu adalah lebih baik,” katanya.

Hari ini WMM mengesahkan sudah menamatkan kontrak Kaka sebagai artis mereka.

Label itu sentiasa menyokong hak kebebasan bersuara dalam kalangan artis naungannya namun keputusan harus dibuat berhubung tindakan Kaka itu.

Terdahulu, profil Kaka didedahkan meninggalkan komen dengan mengecam pempengaruh dan pelakon Australia pro-Israel, Buzzolic, beberapa minggu lalu.

Penyanyi itu kemudian dikecam netizen Israel dan terdapat komen daripada penyokong Israel yang turut menyuruh pihak rakamannya menyelidik serta menggesa dia disingkir daripada label terbabit.

Pada 13 Oktober lalu, label berkenaan memuat naik hantaran di Instagram yang menyatakan sokongan terhadap Israel dan turut melabel Hamas sebagai pihak pengganas. – WILAYAHKU

 

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas