Selebriti

Noryn Aziz diam lebih baik

- Diterbit 8 Disember 2023 2:40 AM MYT

ISU kesihatan mental tidak boleh dipandang ringan. Ia boleh terjadi kepada sesiapa sahaja. Golongan selebriti juga tidak terkecuali berhadapan dengan masalah psikologi ini. Hal ini perlu ditangani secara terbuka agar industri hiburan tempatan lebih sihat.

Berkongsi rasa yang sama, penyanyi popular Noryn Aziz melihat stres tidak boleh dielak namun ia harus ditangani dengan baik.

“Setiap orang pasti mempunyai masalah atau dugaan yang berbeza-beza. Saya sedar, mungkin kita boleh bercakap itu ini, tapi kadang-kadang tidak mudah untuk kita melaluinya. Itu adalah realitinya.

“Semua ini adalah apa yang Allah sudah aturkan. Kita kena terima dengan hati yang ikhlas dan tidak putus berdoa kerana Dia adalah sebaik-baik perancang. Yakinlah,” ujarnya setiap peristiwa yang terjadi punya hikmah tersembunyi.

Tambah pemilik nama Norazmahwati Abdul Aziz ini lagi, sebelum melakukan sebarang tindakan, pastikan fikir dahulu dan bertenang kerana maruah diri adalah perkara utama yang tidak boleh ditukar ganti.

Dalam dunia yang semua dikawal oleh hujung jari, seseorang itu perlu memikirkan sebarang kemungkinan sebelum bertindak menyebarkan apa yang terpendam di hati.

“Kadang-kadang, berdiam itu lebih baik. Cari solusi sekiranya berhadapan dengan masalah. Ada kalanya kita mengharapkan semua masalah pergi macam itu saja. Namun ia tidak semudah itu.

“Namun percayalah tentu ada jalan keluar dari setiap perkara yang berlaku. Berkat kesabaran, kita akan mencapai apa yang diinginkan. Sabar itu sukar tetapi banyak hikmahnya,” jelas Noryn yang pernah popular menerusi lagu Cerita Cinta.

Sebagai peringatan untuk dirinya juga, carilah sesorang yang boleh dipercayai untuk meluahkan perasaan supaya diri akan berasa lebih tenang dan fikiran tidak lagi terbeban dengan hal yang terus-terusan membelenggu diri.

“Pilihlah mereka yang ikhlas mendengar. Namun yang pasti Allah adalah tempat curahan dan mengadu yang paling terbaik tentang apa sahaja masalah hidup yang kita hadapi,” ujarnya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas