Berita

50 projek perumahan swasta sakit, terbengkalai berjaya dipulihkan

- Diterbit 1 Disember 2023 10:28 AM MYT

SEBANYAK 50 projek perumahan swasta sakit dan terbengkalai dengan 4,986 unit perumahan telah berjaya dipulihkan bagi bulan Oktober tahun ini.

Timbalan Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan, Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata ia merupakan rekod tertinggi sepanjang tempoh 10 bulan sejak Task Force Projek Perumahan Swasta Sakit dan Terbengkalai (TFST) diwujudkan bermula Januari lepas.

“Sepanjang tempoh 10 bulan tersebut, KPKT telah berjaya mencapai kejayaan yang signifikan dalam pemulihan projek perumahan swasta sakit dan terbengkalai.

“Sehingga 31 Oktober, pertambahan sebanyak 50 projek perumahan swasta berjaya dipulihkan menjadikan keseluruhan projek perumahan swasta berjaya dipulihkan adalah sebanyak 351 projek iaitu 43,738 unit rumah dengan Nilai Pembangunan Kasar (Gross Development Value, GDV) sebanyak RM32.87 bilion,” jelasnya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut Akmal, pencapaian bagi bulan Oktober merupakan angka tertinggi sejak TFST diwujudkan dan ini merupakan pengiktirafan kepada kumpulan kerja TFST dalam memastikan semua projek yang bermasalah dipantau dan diambil tindakan dengan proaktif.

Tambahnya, sehingga 31 Oktober TFST telah merekodkan sebanyak 55 projek lewat, projek sakit adalah sebanyak 497 projek dan projek perumahan swasta yang telah disahkan terbengkalai adalah sebanyak 117.

“Semua projek lewat, sakit dan terbengkalai membawa nilai GDV sebanyak RM74.92 bilion. Walaupun terdapat pertambahan projek sakit dan projek terbengkalai namun nilai GDV telah berkurang sebanyak RM4.11 bilion.

“TFST mengambil pendirian bahawa dalam tempoh pemaju menyiapkan pemajuan perumahan, kebajikan pembeli yang menjadi mangsa projek perumahan bermasalah adalah perlu dibela.

“Justeru, TFST mencadangkan supaya projek di bawah program perumahan kerajaan atau Pihak Berkuasa Negeri yang terkesan dengan kelewatan atau mengalami status sakit untuk menerima manfaat daripada Dana Jaminan Khas berjumlah RM 1 bilion seperti yang diumumkan dalam Belanjawan Madani 2024 apabila diluluskan kelak,” katanya.

Tambah beliau, KPKT melalui urusetia TFST iaitu Jabatan Perumahan Negara (JPN) bersama Kementerian Kewangan akan meneliti dan memperhalusi kriteria untuk mengenal pasti kesesuaian dan keperluan dalam penentuan projek perumahan agar peruntukan yang diberikan dapat dimanfaatkan dan digunakan dengan optimum dalam pemulihan projek perumahan swasta bagi menjaga kepentingan pembeli.

“TFST terus menjalankan pelbagai ikhtiar melalui semua sesi libat urus yang dijalankan yang diharapkan menjadi ruang untuk semua pihak meneliti dan mengenal pasti isu-isu utama yang menjejaskan industri perumahan di negara ini serta menyumbang pandangan dan cadangan yang bersesuaian. Disamping itu, sesi pemantauan yang konsisten sama ada melalui kaedah turun tapak mahupun secara digital melalui sistem Housing Integrated Management System (HIMS) turut dilaksanakan,” ujarnya.

Dalam pada itu, Akmal juga telah merasmikan Seminar Pemulihan Projek Perumahan Swasta Terbengkalai yang julung kali diadakan pada 16 November 2023 yang lalu bertempat di Putrajaya International Convention Centre (PICC).

Ia dihadiri seramai 160 orang peserta yang terdiri daripada wakil agensi kerajaan, pelikuidasi, pemaju perumahan, pemaju dan kontraktor penyelamat serta pihak-pihak yang berkepentingan dalam memulihkan projek perumahan terbengkalai.

Antara perkara utama yang menjadi perhatian setelah berakhirnya seminar tersebut di mana keseluruhan peserta bersetuju bahawa cadangan untuk memperkasakan pengurusan projek terbengkalai adalah seperti berhubung memudahcara kelulusan teknikal; memperkemaskan perundangan dan penguatkuasaan; kawalan daripada pihak pembiaya; kawalan dari segi pengurusan syarikat yang terlibat dengan projek terbengkalai; dan mekanisma kawalan pelaksanaan projek.

“Oleh itu, semua ini akan dijadikan agenda utama yang akan diteliti dan diperhalusi pada tahun 2024 dan seterusnya untuk menambah baik pengurusan dan memastikan pengurangkan kepada projek perumahan swasta yang bermasalah.

“KPKT melalui TFST komited meneruskan agenda nasional dalam membantu pemulihan projek-projek perumahan swasta yang bermasalah sama ada dalam kategori lewat, sakit atau terbengkalai bagi memastikan kepentingan pembeli rumah terpelihara seterusnya mengurangkan beban rakyat,” jelasnya. –WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas