PERDANA Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi bayangan rombakan kabinet dijangka berlaku bulan ini.
Bayangan tersebut bagaimanapun tidak dapat dipastikan perkara tersebut sahih atau tidak memandangkan beliau menjawab persoalan tersebut daripada seorang kanak-kanak yang muncul ketika media menanti Perdana Menteri selepas menunaikan Solat Jumaat di Surau Al Amin, Fasa 4C, Presint 8, Putrajaya di sini hari ini.
Kanak-kanak tersebut, Akmal Afif Yassier Arafat, 12 yang bersekolah di Sekolah Kebangsaan Presint 8 (2) berpeluang mengajukan pertanyaan kepada Perdana Menteri mengenai rombakan kabinet.
Berikut adalah perbualan antara Anwar dengan kanak-kanak itu.
“Mari sini, media nak tanya. Nak tanya apa?soal Anwar.
“Datuk Seri, bila rombakan kabinet? Tanya Akmal Afif.
“Nama siapa?” Anwar bertanya kembali.
“Nama saya Akmal Afif,” jawab kanak-kanak itu.
“Ok, Akmal cadang bila?” tanya Anwar.
“Sebelum 2024,” jawab Akmal kembali.
Mendengar jawab Akmal, Anwar menegaskan beliau bersetuju dengan jawaban itu.
“Dia jawab sebelum 2024, saya setuju,” ujar Perdana Menteri yang kemudian berlalu meninggalkan perkarangan surau itu.
Ketika ditemui media, Akmal Afif menyatakan beliau bangga kerana dapat bertemu dengan pemimpin negara itu.
Ujar Akmal, dia akan menjadikan helaian not RM5 dan RM1 yang ditandatangani Anwar sebagai peribadi dan tidak akan menjual kepada sesiapa.
“Saya akan membingkaikan duit yang telah ditanda tangani Perdana Menteri.
“Ini adalah kenangan yang amat bermakna dan saya ada sedikit gementar ketika disantuni Perdana Menteri,” katanya. – WILAYAHKU