Berita

Tumpu cari bakat baharu Muay Thai

NIK AHMAD (tiga kiri) ketika hadir menyaksikan Kejohanan Grand Final Kuda Merah International World Muaythai Championship 2023.
- Diterbit 1 Disember 2023 1:20 AM MYT

KERJASAMA daripada semua kelab Muay Thai di sekitar Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan sangat diperlukan dalam mencari pelapis baharu bagi sukan tersebut.

Perkara tersebut disuarakan oleh Pengarah Majlis Sukan Wilayah Persekutuan (MSWP), Nik Ahmad Zahiruddin Nik Saleh dalam usaha mencungkil lebih banyak bakat baru bagi Temasya Sukan Malaysia (SUKMA) akan datang.

“Mungkin selepas ini kelab-kelab Muay Thai boleh mengadakan pertandingan dengan skala lebih kecil bagi memberi tumpuan mencari bakat baharu terutama dalam kalangan pelajar sekolah. Jangan hanya tumpu pada komersial,” ujarnya kepada Wilayahku ketika ditemui pada Kejohanan Grand Final Kuda Merah International World Muaythai Championship 2023 yang diadakan di Stadium Titiwangsa, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Nik Ahmad berkata kejohanan tersebut merupakan antara acara tahunan MSWP bersama Kelab Kuda Merah.

“Ada sebahagian daripada peninju kita yang berlatih di bawah Kelab Kuda Merah dan diharapkan kerjasama seperti ini akan berterusan seterusnya membantu kontinjen Wilayah Persekutuan (WiPers) untuk memperoleh pingat menerusi sukan tinju ini.

“Kejohanan seperti ini juga merupakan platform bagi mempromosikan Muay Thai dan diharapkan dengan populariti sukan ini yang kian meningkat dapat menarik minat lebih ramai golongan remaja,” katanya.

Berkongsi mengenai persiapan kontinjen WiPers dalam menghadapi SUKMA 2024, Nik Ahmad berkata disebabkan beberapa faktor, mereka agak ketinggalan daripada jadual yang ditetapkan.

“Walau bagaimanapun, saya boleh cakap yang kita masih di landasan yang tepat. Ada beberapa sukan yang kita boleh dominasi dan itu tidak memberi kebimbangan terhadap saya dan disebabkan kekangan kewangan juga kita akan cuba untuk memberi fokus kepada sukan-sukan yang mampu menyumbang pingat kepada kontinjen.

“Secara peribadi, harapan saya adalah untuk mengekalkan kedudukan tempat ketiga itu. Walau bagaimanapun ia bergantung kepada prestasi atlet serta situasi semasa kewangan,” jelasnya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas