KEPRIHATINAN Yayasan Wilayah Persekutuan (YWP) membela nasib dua pelajar golongan B40 di pulau ini melalui Biasiswa Pengajian Tinggi disifatkan amat bermakna oleh kedua-dua ibu bapa pelajar terbabit.
Bagi ibu kepada salah seorang pelajar, Jennifer Anselmus, 54, bantuan yang disalurkan oleh YWP meringankan beban anaknya yang kini menuntut di Universiti Sultan Zainal Abidin (UNISZA).
“Sebagai ibu, bantuan biasiswa yang diberikan oleh YWP sesuatu yang bermakna kepada kami sekeluarga dan ia dapat membantu yuran pengajian anak saya selain perbelanjaan hariannya.
“Terima kasih tidak terhingga kepada YWP kerana sudi membantu sekurang-kurangnya dia dapat mengejar impiannya,” katanya ketika ditemui Wilayahku pada Majlis Penyampaian Biasiswa Pengajian Tinggi YWP yang disempurnakan Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Labuan, Rithuan Mohd Ismail.
Sementara itu, Hayati Kadir, 49, yang juga merupakan ibu kepada seorang lagi penerima biasiswa berasa terharu di atas keprihatinan YWP yang membantu anaknya dari awal melangkah ke menara gading sehingga ke hari ini.
“Tiada kata yang dapat diucapkan selain bersyukur dan berterima kasih kepada YWP yang memberi pembiayaan penuh bagi pengajiannya yang kini masuk tahun ketiga. Saya yakin dia tidak akan mensia-siakan peluang ini,” ujarnya sebak.
Terdahulu, sejak tahun 2015 hingga 2021, seramai 195 pelajar telah menerima manfaat Skim Biasiswa Pengajian Tinggi YWP dengan melibatkan jumlah keseluruhan peruntukan RM5.5 juta. – WILAYAHKU